Oleh Sim Y.H. –
Dunia pada masa ini, golongan belia dianggap sebagai pemimpin masa depan yang bakal menerajui perkembangan dan pembangunan negara dan mereka sudah seharusnya mempunyai peranan aktif dalam usaha bagi menjana sebuah negara yang lebih baik dan mampan.
Justeru, usaha golongan belia untuk menjana perubahan positif dan inklusif di negara ini telah mendapat sokongan suntikan semangat daripada pelbagai pihak amnya dan daripada pihak Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) khasnya, di mana melalui kolaborasi antara BIBD dan Pejabat Sekretariat Wawasan Brunei di bawah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) serta Green Brunei selaku wakil Majlis Belia Brunei dalam sama-sama menjayakan Majlis Anugerah Kepimpinan Belia Mampan BIBD.
Rentetan itu, anugerah tersebut memiliki matlamat tersendiri iaitu bagi memperkasakan belia supaya menerajui usaha mencapai Wawasan Brunei 2035 dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (SDGs) sebagai generasi muda yang berani menghadapi cabaran bagi membawa negara maju ke persada dunia.
Dalam merealisasikan matlamat tersebut, empat buah kumpulan telah terpilih untuk menerima anugerah berkenaan berdasarkan kepada Kluster Pekerjaan, Alam Sekitar, Kesihatan dan Pendidikan di mana setiap kumpulan dianugerahkan sebanyak $3,000 sebagai pengiktirafan idea dan potensi luar biasa ke arah membina sebuah masa depan yang mampan.
Penerima-penerima anugerah berkenaan termasuklah Kluster Pendidikan iaitu Projek Hayaa, Kluster Alam Sekitar iaitu Iklim Chapters, Kluster Kesihatan iaitu Projek Pink Box serta Kluster Pekerjaan iaitu Upskilling Tutong.






Anugerah Kepimpinan Belia Mampan BIBD
Menyoroti mengenai salah satu anugerah yang disebutkan sebelumnya iaitu Anugerah Kepimpinan Belia Mampan BIBD, ia merupakan bukti komitmen dan usaha kolektif negara kepada memupuk pemimpin generasi akan datang menerusi pendekatan seluruh negara.
Apa yang pasti anugerah itu diharap akan menjadi sebagai inspirasi bagi belia negara dan masyarakat untuk menyumbang secara aktif ke arah mencapai visi Negara Brunei Darussalam yang mampan dan dinamik.
Perkara tersebut adalah selaras dengan apa yang dijelaskan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri dalam ucapan alu-aluannya di Majlis Penyampaian Anugerah Kepimpinan Belia Mampan BIBD yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, baru-baru ini, di mana beliau menjelaskan, “Di BIBD, kami percaya dalam memupuk dan memperkasakan pemimpin generasi akan datang yang memainkan peranan penting dalam membentuk masa hadapan.”
Natijahnya, anugerah itu, merupakan langkah besar ke arah menjana sebuah negara ke arah yang lebih baik dan mampan di mana dedikasi dan semangat yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin muda berkenaan dipercayai mampu untuk memberikan kesan bagi perubahan positif di serata negara.
Upskilling Tutong bantu bangun kapasiti penduduk
Menyentuh mengenai pembangunan kapasiti bagi penduduk-penduduk di kawasan pedalaman Daerah Tutong pula, sebetulnya ia telah mendapat perhatian serta diketengahkan oleh kumpulan belia yang telah mengungkayahkan projek Upskilling Tutong.
Menariknya, menurut perkongsian daripada salah seorang anggota pasukan berkenaan ketika ditemui oleh Media Permata, Awang Muhd Riyanulaiman bin Mohd Yazid menjelaskan bahawa projek berkenaan telah menyasarkan para penduduk di Mukim Rambai, Mukim Ukong dan Mukim Lamunin dengan para penduduk yang menyertai program pembangunan kapasiti diberikan pendedahan kepada meningkatkan kapasiti mereka dalam beberapa perkara tamsilnya, literasi digital, literasi kewangan, pemasaran dan penubuhan rangkaian.
Di samping itu, Awang Muhd Riyanulaiman turut berkongsi bahawa perkara itu merupakan salah satu cabaran bagi mereka dalam melaksanakan program di mana mereka harus bijak menguruskan masa terutamanya bagi merancang dan melaksanakan projek serta pada masa yang sama, menghadiri kuliah dan melaksanakan tugasan pengajian mereka.
Natijahnya, para usahawan atau belia yang ingin untuk memulakan perusahaan mereka sendiri adalah sangat digalakkan untuk menyertai projek berkenaan kerana silibus yang diketengahkan iaitu literasi digital, literasi kewangan, pemasaran dan rangkaian adalah kemahiran yang relevan dalam pasaran pekerjaan di Brunei dan di peringkat global.
Iklim Chapters tingkatkan kefahaman perubahan iklim
Manakala dalam perkara pendidikan dan kesedaran mengenai perubahan iklim khususnya dalam kalangan masyarakat pula diketengahkan melalui projek yang dilaksanakan oleh Iklim Chapters dengan memperkenalkan Kit Alat Perubahan Iklim (Climate Change Tookit) mereka.
Berbicara soal kit yang diketengahkan dalam projek berkenaan, pihak media turut berkesempatan menemu bual salah seorang ahli kumpulan Iklim Chapters, Awang Muhammad Meerza Helmi. Menurutnya kit berkenaan merupakan sumber maklumat perubahan iklim sehenti di mana golongan muda Brunei boleh mempelajari mengenai perubahan iklim serta meningkatkan kefahaman mereka mengenai isu perubahan iklim berkenaan.
Dalam perkongsiannya, beberapa bengkel perubahan iklim yang telah dilaksanakan oleh beberapa orang ahli kumpulan berkenan yang disertai oleh golongan muda termasuk pelajar sekolah, mereka mendapati bahawa segelintir golongan muda tidak mempunyai kefahaman sebenar mengenai perubahan iklim.
Projek Pink Box sediakan penyelesaian pad haid
Dalam perkongsian lanjut, terdapat satu projek yang disebut sebagai Projek Pink Box yang merupakan sebuah projek bagi membekalkan pad haid di syarikat-syarikat dan ruang awam dengan menyediakan dispenser penjagaan kebersihan di mana hasil daripada penyewaan dispenser berkenaan digunakan untuk membekalkan pad haid secara percuma kepada sekolah-sekolah khususnya bagi kegunaan pelajar perempuan.
Menurut pengasas bersama Projek Pink Box, Dayangku Fatnin Syahirah dan Dayang Siti Zaimah Roslan, melalui kajian yang dilaksanakan oleh mereka awal tahun ini, mendapati bahawa terdapat kurang kefahaman dalam kalangan keluarga yang kurang berkemampuan mengenai haid terutama golongan muda perempuan di mana mereka mempunyai kesukaran mendapatkan pad haid ketika menghadiri sekolah kerana mereka tidak mempunyai pad berkenaan di sekolah atau terlupa membawanya dari rumah.
Oleh itu, projek itu merupakan satu inisiatif bagi menyediakan penyelesaian dengan menyediakan pad haid secara percuma kepada pelajar-pelajar berkenaan dan juga untuk menyediakan pendidikan serta pengetahuan mengenai kesihatan haid kepada mereka.

