Sunday, April 13, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek bina 600 menara SMART akan selesai tahun ini

    KUCHING, 11 APRIL – Projek pembinaan 600 menara Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia Sarawak (SMART) atau SMART600 dijangka siap dan berfungsi sepenuhnya pada suku ketiga tahun ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Datuk Sudarnoto Osman berkata ini bermakna, pembinaan kesemua 600 menara berkenaan akan siap lebih awal berban-ding perancangan asal iaitu suku keempat atau penghujung tahun ini.

    “Dari segi menyiapkan menara itu sendiri, kita dah siap bina kira-kira 580 menara dan kita jangkakan sejumlah 60 hingga 80 menara lagi akan berfungsi sepenuhnya dalam masa sebulan ini.

    “Kemajuan setakat ini amat menggalakkan dan kita jangka akan siap lebih awal iaitu dalam bulan Julai atau Ogos… bukan sahaja siap didirikan tetapi kesemuanya akan berfungsi sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas majlis penghargaan media SDEC, semalam.

    Beliau berkata setakat ini, kira-kira 456 menara SMART telah berfungsi dengan teknologi Multi Operator Core Network (MOCN) dan Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN).

    “Selalunya kemajuan ini akan meningkat sewaktu musim panas berbanding musim hujan yang lebih mencabar, kerana akses ke tapak pembinaan yang mungkin banjir dan jalan becak,” katanya.

    Pada Mei tahun lepas, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyaksikan majlis menandatangani perjanjian (MoU) SMART600 MOCN melibatkan SDEC dengan CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL sebagai lonjakan signifikan ke arah meningkatkan keterhubungan digital di kawasan luar bandar Sarawak.

    Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), projek itu dianggarkan memberi manfaat kepada kira-kira 1,000 penempatan di kawasan pedalaman Sarawak dan melalui inisiatif ini, masyarakat akan menikmati liputan tanpa mengira rangkaian syarikat mana yang mereka pilih. – Bernama

    Sudarnoto bergambar bersama pengamal media Sarawak pada Majlis SDEC Media Appreciation Night 2025 di sebuah hotel pada 10 April. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda