Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek Bootcamp pupuk minat keusahawanan

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Projek Bootcamp bermatlamat untuk memberikan kesedaran minda keusahawanan serta pendedahan mengenai kemahiran keusahawanan dan inovasi dalam kalangan pelajar berkeperluan khas melalui latihan berterusan serta pembinaan ilmu pengetahuan supaya mereka lebih memahami produk dan perkhidmatan yang dihasilkan.

    Di samping itu, ia juga memberikan keyakinan kepada mereka untuk berkomunikasi bersama orang ramai, jelas Pemangku Ketua Jabatan Pendidikan Khas, Awang Eddy Fazlin bin Haji Amdan dalam kata alu-aluannya pada Majlis Penyampaian Hadiah dan Demo Day Projek Bootcamp ke-3 bagi Program Pra-Vokasional 2023 yang berlangsung di Bangunan Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang Projek Bootcamp ke-3 ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Korporat), Profesor Dr Noor Azam bin OKMB Haji Othman.

    Turut hadir ialah ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan, pemimpin-pemimpin sekolah, guru-guru, para pelajar dan agensi-agensi yang berkepentingan.

    Awang Eddy Fazlin dalam kata alu-aluannya lagi menyatakan bahawa Majlis Demo Day Projek Bootcamp diadakan bersempena Minggu Keusahawanan Global (GEW) di mana ia merupakan kempen kesedaran yang melibatkan jutaan orang setiap November melalui 35,000 aktiviti keusahawanan selain daripada meraikan para usahawan dan sebagai pencetus inspirasi kepada orang ramai.

    Profesor Dr Noor Azam dan pemenang bagi kategori Most Independent, SM Katok bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H
    Antara pameran dan produk jualan yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H
    GAMBAR OLEH SIM Y. H

    Beliau menyatakan bahawa aktiviti itu menjadi satu wadah untuk membuktikan pelajar-pelajar berkeperluan khas adalah berkebolehan, mempunyai kredibiliti, mempunyai semangat berkembang maju serta mampan dalam menghadapi cabaran keusahawanan dan inovasi.

    Awang Eddy Fazlin seterusnya menyeru para pelajar untuk terus membuka minda kepada idea-idea kreatif, mencari peluang dalam setiap cabaran untuk berani tampil ke hadapan dalam mencipta sesuatu inovasi yang dapat memberikan impak positif kepada orang
    ramai.

    “Keusahawanan bukan sahaja membentuk perniagaan, tetapi juga membentuk diri pelajar-pelajar sebagai individu yang mampu mengatasi cabaran dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat,” tambah beliau.

    Majlis seterusnya menyaksikan Profesor Dr Noor Azam menyempurnakan penyampaian hadiah kepada sekolah terbaik dalam menghasilkan produk mengikut kategori iaitu Most Innovative kepada Sekolah Menengah (SM) Pehin Datu Seri Maharaja, Mentiri; Most Persevering kepada SM Lambak Kiri; Most Passionate kepada SM Perdana Wazir; Most Independent kepada SM Katok; serta Most Creative kepada SM Sayyidina Umar Al-Khattab.

    Projek Bootcamp 2023 telah disertai oleh 68 orang pelajar berkeperluan khas dari 17 buah sekolah menengah kerajaan. Projek itu adalah sebagai sebuah platform bagi mendidik pelajar-pelajar berkeperluan khas peringkat menengah dari Program Pra-Vokasional dalam bidang keusahawanan dan inovasi serta memberikan peluang kepada mereka untuk menunjukkan kebolehan, kreativiti, inovatif dan bakat dalam menghasilkan produk yang terbaik.

    Projek itu juga menggalakkan pelajar untuk memupuk pemikiran keusahawanan bagi melahirkan pelajar yang berdikari dari segi pekerjaan.

    Majlis turut diserikan dengan aktiviti pameran dan jualan produk yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar semasa pertandingan Bootcamp 2023.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda