Sunday, December 22, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek CASA tangani pencemaran udara

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan, telah mengadakan Majlis Penandatanganan Sijil Penyerahan bagi Projek Clean Air for Sustainable ASEAN (CASA) di bawah Kumpulan Kerja ASEAN on Environmentally Sustainable Cities (AWGESC) untuk Brunei Darussalam.

    Majlis tersebut telah berlangsung hari ini di Dewan Bertabur, kementerian berkenaan.
    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Abdul Razak.

    Terdahulu, Pengarah JASTRe, Hajah Martinah binti Haji Tamit, dalam ucapannya antara lain menggariskan, majlis ini menunjukkan kerjasama yang kukuh dan semakin berkembang antara ASEAN dan Republik Korea.

    “Projek CASA akan berjalan selama empat tahun sehingga penghujung 2026, dan ia satu langkah penting ke hadapan dalam usaha bersama untuk menangani pencemaran udara dan impaknya terhadap kesihatan awam,” ujarnya.

    Beliau seterusnya menjelaskan, “Ia adalah inisiatif yang menggabungkan kerjasama politik, sains dan teknikal untuk menyokong negara-negara anggota ASEAN dalam menghadapi cabaran kualiti udara.”

    Hajah Martinah dan Profesor Kiyoung Lee bergambar bersama sijil penyerahan yang telah ditandatangani pada majlis itu. – GAMBAR SERAHAN FADLEY FAISAL
    GAMBAR SERAHAN FADLEY FAISAL
    GAMBAR SERAHAN FADLEY FAISAL
    GAMBAR SERAHAN FADLEY FAISAL

    Sebagai sebahagian daripada projek penting ini, jelasnya, “Kita amat bertuah kerana menerima dua unit pemantauan kualiti udara, yang mana ini akan membolehkan kita untuk mengukur parameter kualiti udara yang utama di negara ini.

    “Peralatan ini adalah aset berharga dalam meningkatkan kapasiti pemantauan kualiti udara untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat dan alam sekitar,” jelasnya.

    Majlis kemudiannya diteruskan dengan penandatanganan sijil penyerahan di antara Hajah Martinah dan Ketua Penyelidik Projek CASA, Profesor Kiyoung Lee, sambil disaksikan oleh tetamu kehormat dan bakal Duta Republik Korea ke negara ini, Tuan Yang Terutama Sun Nahmkook.

    Majlis penandatanganan diakhiri dengan ucapan penutup oleh Profesor Kiyoung Lee.

    Turut hadir, rombongan delegasi dari Republik Korea, pegawai-pegawai kanan dari Jabatan ASEAN, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, dan Jabatan Pengangkutan Darat, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

    Projek CASA adalah salah satu usaha kerjasama di antara Republik Korea bersama Negara Anggota ASEAN (AMS) di bawah naungan AWGESC.

    Projek berkenaan antara lain bertujuan untuk memberi sokongan menyeluruh kepada AMS bagi mengurangkan pencemaran udara dan kesan negatifnya melalui langkah-langkah politik, saintifik dan teknikal.

    Projek tersebut akan dilaksanakan bagi tempoh empat tahun (2023–2026), di mana Brunei adalah di antara negara anggota ASEAN yang menyertai dan menerima sumbangan daripada Republik Korea iaitu dua peralatan pemantauan kualiti udara untuk ditempatkan di lokasi strategik di negara ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda