Saturday, March 22, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek DriveBN tingkat perkhidmatan pengangkutan darat

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Kelambatan permohonan lesen memandu yang berlaku sekarang antaranya disebabkan keadaan sistem pengangkutan darat yang sedang dalam proses penaiktarafan dan akan diganti dengan sistem baharu melalui projek Rancangan Kemajuan Negara (RKN).

    Pada masa yang sama, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) melalui Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) telah merangka inisiatif untuk me-ningkatkan perkhidmatan pengangkutan darat dalam RKN ke-12.

    Inisiatif tersebut dikenali sebagai Projek Pendigitalan Perkhidmatan Pengangkutan Darat yang lebih dikenali dengan nama DriveBN. Projek berkenaan melibatkan penggunaan lesen digital dan digital ID untuk memudahkan dan meningkatkan pengalaman pengguna dalam membuat permohonan-permohonan dalam perkhidmatan pengangkutan darat.

    Perkara berkenaan antara yang dijelaskan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha ketika menjawab isu perbahasan yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan berkaitan proses permohonan untuk memperbaharui lesen memandu melalui aplikasi mudah alih TransportBN yang masih tidak konsisten dari segi masa, sehingga melebihi tempoh masa yang dinyatakan iaitu tiga hingga lima hari waktu bekerja untuk orang ramai menerimanya melalui penghantaran ke rumah pemohon, semasa Persidangan MMN yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

    Yang Berhormat Dato menambah projek DriveBN di bawah RKN ke-12 juga mengambil pendekatan business process improvement yang mana selain penyediaan, sistem projek tersebut juga dihasrat mengemaskinikan proses-proses kerja dalam JPD supaya ia lebih mesra pelanggan.

    Yang Berhormat Awang Abdul Aziz membangkitkan isu mengenai proses permohonan memperbaharui lesen memandu semasa Persidangan MMN ke-21 kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda