Thursday, May 1, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek ECRL, TSGP dibatalkan

    BEIJING, 21 Ogos – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) bernilai berbilion ringgit, dibatalkan.

    Perdana menteri berkata Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang memahami sebab-sebab pembatalan dua projek yang disokong kerajaan China itu.

    “Saya telah menjelaskan kepada mereka dan mereka memahami kedudukan dan menerimanya,” kata Dr Mahathir kepada wartawan pada akhir lawatan rasmi lima harinya ke China.

    “Pada peringkat awal, berlaku salah faham, namun kini mereka faham mengapa kita lakukannya (batal). Saya tidak fikir China mahu kita muflis,” kata Dr Mahathir.

    Dr Mahathir berkata projek terbabit membabitkan peruntukan wang yang besar dan Malaysia tidak terlalu memerlukannya pada masa ini berikutan kedudukan kewangan negara dengan jumlah hutang yang tinggi yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

    “Projek tidak diteruskan. Keutamaan kami ialah mengurangkan hutang. Buat masa ini ia ditangguhkan sehingga kita mampu,” kata perdana menteri, namun apabila wartawan meminta penjelasan lanjut, berkata: “Ya ia (projek) dibatalkan buat masa ini.”

    ECRL, projek bernilai RM81 bilion sejauh 688 km yang menghubungkan Pelabuhan Klang dan Kota Bharu, Kelantan, yang dilancarkan tahun lepas, dijadualkan siap pada 2024, manakala TSGP yang meliputi pemasangan saluran paip gas sepanjang 662 km dari Kimanis ke Sandakan dan Tawau, melibatkan kos RM4 bilion.

    Perlaksanaan kedua-dua projek itu digantung sejak Julai lepas. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda