MELAKA, 7 NOV – Projek Ekskavasi Arkeologi di Pulau Melaka yang kini memasuki fasa keeempat akan diteruskan bagi mencari gali dan menyelamatkan artifak dan bahan sejarah yang masih terdapat di kawasan tambakan pasir di pulau itu.
Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN) Mohamad Muda Bahadin berkata walaupun tempoh pencarian itu bagi fasa berkenaan yang bermula 24 Oktober lepas berakhir pada 2 November, namun usaha berkenaan dilanjutkan selepas penemuan pelbagai artifak sejarah, antaranya serpihan kayu dipercayai rangka kapal purba era Kesultanan Melayu Melaka, porselin dan duit syiling lama era Kesultanan Mahmud Shah.
Beliau berkata setakat ini kerja-kerja ekskavasi di kawasan berkenaan hanya melibatkan keluasan 12 x 12 meter tetapi keluasan itu dijangka bertambah dari semasa ke semasa mengikut kajian yang dilakukan.
“Projek ini kita akan teruskan sehingga selesai … mungkin akan mengambil masa bertahun … mungkin dua hingga tiga tahun atau mungkin lebih dan ia tertakluk pada kajian akan datang.
“Bagi fasa keempat ini, sebanyak 24 anggota daripada JWN, Perbadanan Muzium Melaka, pakar arkeologi dan sejarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan kumpulan sukarelawan terlibat dalam projek berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tapak ekskavasi berkenaan hari ini.
Beliau berkata setakat ini, kerja-kerja cari gali berkenaan melibatkan kedalaman kira-kira tiga meter dan dijangka banyak lagi artifak dan penemuan sejarah dapat diperoleh sekiranya kerja-kerja eksplorasi di kawasan itu diteruskan. – Bernama

