Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek fasa kedua perkenal sumber mentah baharu

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Hengyi Industries telah menjadi rakan kongsi utama Negara Brunei Darussalam dalam perjalanannya ke arah mempelbagaikan sektor ekonomi negara melalui hiliran minyak dan gas serta membawa negara lebih dekat kepada merealisasikan Pelan Induk Ekonomi bagi Brunei Darussalam, Matlamat 3, Wawasan Brunei 2035, ke arah sebuah ekonomi mampan dan dinamik.

    Sehubungan itu, penandatangan fasa perjanjian kedua projek Kompleks Petrokimia dan Penapisan Berintegrasi Hengyi Industries akan membolehkan Negara Brunei Darussalam memperkenalkan sumber bahan mentah baharu seperti gas asli cecair (LNG) dan etana yang amat penting bagi pengeluaran high value derivate petrochemicals yang pertama di negara ini.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Kemajuan Pulau Muara Besar (PMB) dalam ucapan alu-aluannya, hari ini.

    Pelaksanaan fasa kedua itu akan meningkatkan kapasiti penapisannya sebanyak 2 juta tan metrik setahun membawa jumlah keseluruhan sebanyak 11 juta tan metrik setahun, melalui pembangunan kemudahan-kemudahan baharu di PMB, tambahnya pada Majlis Penandatanganan Perjanjian Pelaksanaan bagi Projek Kemajuan PMB Fasa Kedua antara Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam dan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) bersama Syarikat Hengyi Industries Sdn Bhd serta Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Program Kerjasama antara Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Zhejiang University yang berlangsung di The Empire Brunei.

    Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa ia meletakkan kedudukan PMB sebagai asas bagi pembangunan hiliran berasaskan minyak dan menarik pelaburan-pelaburan asing sekali gus memartabatkan Negara Brunei Darussalam sebagai pesaing utama dalam sektor petrokimia serantau.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bersama Qiu Jianlin semasa menyaksikan majlis penandatanganan MoU. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew diberikan penerangan semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Dengan pelaksanaan projek fasa kedua berkenaan, beliau menyatakan ia dijangka akan menjana lebih 2,000 peluang pekerjaan dan 50 peratus daripada peluang pekerjaan akan diperuntukkan bagi anak tempatan daripada permulaan fasa operasi menjelang 2029.

    Hadir sebagai tetamu-tetamu kehormat serta menyaksikan penandatanganan perjanjian dan MoU pada majlis berkenaan ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pandu Pelaburan Langsung Asing dan Industri Hiliran; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Kemajuan PMB dan Pengerusi Zhejiang Hengyi Group Co.Ltd dan Pengerusi Syarikat Hengyi, Qiu Jianlin.

    Pada penandatanganan perjanjian pelaksanaan bagi PMB Fasa Kedua, mewakili pihak Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam ialah Setiausaha Tetap (Tenaga) di JPM, Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib dan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) Kementerian Pembangunan, Ir Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria, manakala LKEB diwakili Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Daniel Leong dan mewakili Syarikat Hengyi ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Chen Lian Cai.

    Sementara itu, menandatangani MoU bagi pihak UBD ialah Naib Canselor, Dr Hazri bin Haji Kifle dan Zhejiang University diwakili oleh Pengerusi Majlis Zhejiang University, Profesor Shaobo Ren.

    MoU itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dalam menyediakan program biasiswa untuk terus memperlengkapkan anak-anak tempat dengan kemahiran tertentu melalui pendedahan industri di Republik Rakyat China, diikuti dengan latihan penempatan industri dan seterusnya berkhidmat di Syarikat Hengyi di Brunei.

    Penandatanganan Perjanjian Perlaksanaan Fasa Kedua merupakan satu pencapaian penting dalam usaha-usaha dan komitmen berterusan netgara untuk memperkembangkan sektor hiliran minyak dan gas, ke arah mendukung dan merealisasikan wawasan 2035 dan Economic Blueprint Negara Brunei Darussalam.

    Ia juga menandakan kerjasama erat antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China untuk mempelbagaikan ekonomi negara terutama dalam memacu pembangunan sektor petrokimia, menjana peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung untuk anak-anak tempatan, mengadakan peluang-peluang perniagaan bagi syarikat-syarikat perkhidmatan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana tempatan serta berperanan sebagai pemangkin bagi pembangunan sektor hiliran minyak dan gas, iaitu salah satu daripada lima sektor keutamaan di dalam Economic Blueprint Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda