Saturday, October 19, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek hiasan dalaman masjid siap dilaksana

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Projek Hiasan Dalaman Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (SSBRPAD), Kampung Manggis/Madang telah selesai dilaksanakan dengan majlis pelancaran berlangsung di ruang sembahyang masjid berkenaan.

    Hadir ialah selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Turut sama hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji ​Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Dalam ucapan perasmiannya, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama mengongsikan bahawa inisiatif tersebut diungkayahkan oleh jawatankuasa takmir menerusi mengumpulkan dana daripada penduduk-penduduk Kampung Manggis dan Madang dan sektor korporat jelas mencerminkan kesatuan dan perpaduan masyarakat di kampung tersebut yang ingin melaksanakan sesuatu projek berkebajikan seumpama ini tanpa bergantung sepenuhnya kepada biaya pihak kerajaan.

    “Sikap keusahawanan inilah suatu perkara yang pada hemat saya perlu dipupuk dan dicontohi sebagai amalan terbaik oleh masjid-masjid lain di negara ini walaupun dalam skala yang kecil,” jelas Yang Berhormat Mentari Hal Ehwal Ugama.

    Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Al-Quran oleh Awang Abdul Qawiyyel Azeez bin Haji Abdul Rajid, manakala tafsiran ayat-ayat disampaikan oleh Awang Ruzaini bin Haji Mohd Rozey.

    Majlis diteruskan dengan ucapan kata-kata aluan oleh Penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid SSBRPAD, Dato Paduka Haji Mohd Said bin Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Hashim, selaku pengerusi jawatankuasa projek berkenaan.

    Projek tersebut mengandungi kerja-kerja untuk menghias keempat-empat bahagian dalam dinding masjid dan bahagian luar pintu masuk utama masjid dengan ayat-ayat Al-Quran yang telah dipilih, Asmaul Husna dan zikir-zikir.

    Kerja-kerja pemasangan panel-panel ayat-ayat Al-Quran, Asmaul Husna dan zikir-zikir di Masjid SSBRPAD ini telah bermula 6 September dan siap pada 10 Oktober.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dan Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji ​Halbi semasa hadir ke majlis tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Bahagian dalam masjid berkenaan selepas projek hiasan selesai dilaksanakan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda