Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 18 MAC – Projek Jalinan Kasih ke-17 diteruskan lagi dengan Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan Golongan Asnaf Terpilih dengan kerjasama Radio Televisyen Brunei (RTB) serta Hotel V Plaza dan MOC Sdn Bhd yang diadakan di hotel berkenaan baru-baru ini.
Hadir di majlis tersebut ialah Pemangku Timbalan Pengarah (Operasi), RTB, Pengiran Haji Ismail bin Pengiran Haji Muhammad Kifli; dan Pengurus Am Hotel V Plaza, Alvin Hiew; serta Timbalan Pengarah Urusan MOC Sdn Bhd, Haji Mohd Deli bin Bakar.
Sempena bulan Ramadan ini, seramai 38 orang terdiri daripada 18 orang warga emas, enam OKU dan 14 ketua keluarga daripada keluarga golongan asnaf dijemput untuk berbuka puasa bersama-sama.
Majlis dimulakan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Ketua Unit Dakwah Daerah Belait, Haji Muskirsman Safari bin Haji Mustapa, diikuti dengan penyampaian sumbangan kepada penerima yang disampaikan oleh wakil-wakil agensi.
Projek Jalinan Kasih merupakan tanggungjawab sosial korporat RTB dalam suasana masyarakat Negara Brunei Darussalam menunaikan ibadah puasa dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Seperti lazimnya, projek disasarkan kepada golongan asnaf, warga emas, orang kelainan upaya, golongan mualaf, anak-anak yatim atau ibu tunggal.
Pelaksanaan projek adalah bertepatan dengan slogan RTB iaitu Sentiasa Bersama Biskita yang bukan hanya terbatas menyiarkan rancangan-rancangan melalui rangkaian radio dan saluran televisyen, tetapi juga menyantuni secara sua muka dengan masyarakat di keempat-empat daerah.