BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Projek pembinaan Jambatan Brunei-Temburong sekali lagi mencatatkan satu pencapaian penting yang mana kerja-kerja menuang konkrit terakhir bagi struktur utama Jambatan Navigasi laluan perkapalan Timur, ‘Twin Tower Cable Stayed Bridge’ telah dilaksanakan pada 28 Jun lalu.
Ini sekali gus menandakan berakhirnya pembinaan struktur utama Jambatan Navigasi tersebut di bawah kontrak Pakej CC3, menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Kerja Raya.
Hadir menyaksikan kerja-kerja tersebut ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi bin Haji Gafar, Timbalan Menteri Pembangunan, Haji Marzuke bin Haji Mohsin, Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Haji Amer Hishammuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria dan Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Lim Sui Kau Alice.
Kenyataan menjelaskan, Kontrak Pakej CC3 – Jambatan Navigasi ini telah bermula pada 1 Oktober 2015 yang mana kontraktor utamanya adalah syarikat usaha sama Daelim Industrial Co Ltd dan Swee (B) Sdn Bhd.
Pada 29 Mei 2019, struktur utama Jambatan Navigasi Laluan Perkapalan Brunei, Single Tower Cable Stayed Bridge juga telah siap. Pencapaian ini menghubungkan Jambatan Navigasi di bawah Kontrak Pakej CC3 dengan Jambatan Marin di bawah Kontrak Pakej CC2.
Ini melengkapkan jambatan sepanjang 14.5km merentasi Teluk Brunei dari Jalan Kota Batu sehingga Tanjong Kerasek.
