Sunday, July 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek Kemasyarakatan Titian Amal diteruskan

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 30 Nov – Projek Kemasyarakatan Titian Amal diteruskan lagi di Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA) dengan majlis penyerahan projek telah disempurnakan di Daerah Tutong selepas majlis penyerahannya di Kampung Menunggol.

    Hadir selaku tetamu kehormat di majlis ialah Pengerusi Tertinggi Jawatankuasa Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-56, Kapten Awang Othman bin Haji Suhaili @ Suhaily.

    Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit dan Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong; Presiden Persatuan KACA, bekas pemilik bangunan, pemangku pegawai Daerah Tutong dan pegawai kanan ABDB.

    Projek menaikkan taraf Persatuan KACA diungkayahkan oleh ABDB dengan sumbangan daripada penaja yang mana terdiri daripada Aziz Latif & Company Sdn Bhd, Malai Mashor Companies, Syarikat Nurzarifah, Syarikat Haji Ibrahim dan Progresif.

    Kapten Awang Othman ketika menyerahkan Sijil Penyerahan Projek Titian Amal di majlis tersebut.

    Sementara tenaga kerja yang membantu menjalankan projek selama 10 minggu ini terdiri daripada Tentera Udara Diraja Brunei, Institut Latihan ABDB serta kakitangan awam dari Kementerian Pertahanan.

    Pada majlis itu, tetamu kehormat telah menyerahkan sijil penyerahan kepada Persatuan KACA dan seterusnya menyampaikan sijil kepada para penaja.

    Projek kemasyarakatan terakhir di bawah Projek Titian Amal tahun ini ialah pembinaan rumah di Kampung Junjungan yang masih giat dilaksanakan dan dijangka siap awal tahun 2018.

    Dengan adanya projek berkenaan, ia boleh meringankan beban golongan sasaran dan pihak ABDB berharap untuk menolong golongan yang memerlukan dan mengeratkan hubungan kerjasama di antara ABDB dengan agensi-agensi kerajaan dan sektor swasta.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda