Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Bersempena bulan Ramadan yang mulia ini dan dengan matlamat untuk memberikan peluang kepada orang ramai untuk berbagi kebahagiaan bersama mereka yang memerlukan, beberapa belia masjid yang dikenali aktif di negara ini bekerjasama melaksanakan projek khidmat masyarakat bermula 22 April hingga 5 Mei.
Program Belia Masjid Prihatin adalah inisiatif oleh Belia Masjid Ashabul Akhyar, Belia Masjid Ashabul Haliim, Belia Masjid Ash-Shaliheen, Kumpulan Belia ‘IbadurRahman, Kumpulan Syababul Iman, Belia Syababurroja dan Belia Masjid RPN Kampung Pandan yang mana ia merupakan satu saranan bagi orang ramai untuk menyumbang derma kewangan yang digunakan untuk membeli barangan asasi yang akan disalurkan kepada golongan keluarga yang kurang berkemampuan.
Di samping itu, berikutan penularan jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada masa ini, adalah penting untuk sama-sama tampil ke hadapan membantu golongan yang kurang berkemampuan.
Dalam usaha membendung penularan COVID-19, tidak dinafikan ia telah turut menjejaskan keadaan ekonomi di peringkat negara dan juga segelintir entiti atau individu.
Oleh itu, projek berkenaan diharap akan dapat membantu meringankan sedikit sebanyak bebanan perbelanjaan beberapa kumpulan golongan yang memerlukan di negara ini dan secara tidak langsung diharap dapat membantu meringankan bebanan pihak kerajaan juga.
Bagi orang ramai yang ingin menderma, dana bolehlah disumbangkan melalui sumbangan secara dalam talian kepada akaun 00-001-01-0065038.
Setiap transaksi hendaklah diambil screenshot untuk dihantar kepada pihak Urus Setia Program Belia Masjid Prihatin melalui aplikasi WhatsApp di talian 8893630.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi wakil urus setia di talian 8916563 atau 8660103.
