Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Projek Kolaboratif FOCAL merupakan satu inisiatif murni yang menyatukan tenaga dan kepakaran dari pelbagai pihak dalam usaha untuk memelihara serta mengembang luaskan koleksi-koleksi bahan dan sumber tempatan yang terdapat di Negara Brunei Darussalam melalui Koleksi Bruneiana.
Koleksi Bruneiana itu bukan sahaja sekadar kompilasi bahan-bahan sejarah, budaya dan warisan negara tetapi ia merupakan khazanah bernilai-tinggi yang mencerminkan jati diri daripada nilai-nilai kebangsaan anak-anak Brunei.
“Oleh itu, usaha untuk menaik taraf, mengukuh dan mengembangkan lagi koleksi ini adalah merupakan suatu langkah strategik yang sangat bijak dan relevan untuk kegunaan generasi masa kini secara menyeluruh,” menurut Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Dr Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong dalam ucapannya semasa Majlis Pelancaran Projek Kolaboratif FOCAL (Forum of Chief Librarians) yang berlangsung di Dewan Jawatan Dalam, Pusar Sejarah Brunei, hari ini.
Beliau menyatakan harapan hasil daripada usaha kolaboratif berkenaan akan membawa kepada pembangunan sistem pangkalan data Bruneiana yang lebih mantap dan mesra pengguna serta pembentukan garis panduan pemeliharaan bahan-bahan tempatan yang setaraf dengan standard antarabangsa.
Dr Haji Muhammad Hadi berkata, “ Saya yakin usaha ini akan menjadi pemangkin kepada sinergi ilmu, kepakaran dan usaha bersama dalam memartabatkan sejarah, budaya dan warisan serta Pembangunan negara.”
Terdahulu dalam kata alu-aluan Yang Dipertua Persatuan Perpustakaan Negara Brunei Darussalam (BLA), Dayang Nellie binti Dato Paduka Haji Sunny, yang dibacakan oleh Hajah Pusparaini binti Haji Thoni menerangkan projek itu merupakan satu komitmen sepadu daripada 14 buah Perpustakaan ahli FOCAL untuk menghasilkan peralatan sebagai satu kerja berkumpulan bagi meningkatkan dan memantapkan koleksi Bruneiana di negara ini untuk pembelajaran, penyelidikan dan pembelajaran sepanjang hayat.
Majlis diteruskan dengan forum bertajuk Apa yang Difahamkan sebagai Koleksi Bruneiana, yang menampilkan tiga orang ahli FOCAL iaitu Perpustakawan Kanan Perpustakaan Universiti Brunei Darussalam, Awang Ahmad Safwan bin Jalil; Pegawai Sejarah Kanan Perpustakaan Pusat Sejarah Brunei, Awang Muhammad Syahmi bin Halimshah dan Penolong Pegawai Perpustakaan Tingkat 1, Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, Dayang Fatin Nuramalina binti Haji Muhd Syafie dengan Dayang Nellie sebagai moderator.
Projek Kolaboratif FOCAL yang dijayakan oleh 14 buah perpustakaan merupakan projek kerjasama berkumpulan dengan tujuan untuk menaik taraf dan mengukuhkan Koleksi Bruneiana di perpustakaan-perpustakaan bagi memudahkan pemeliharaan bahan-bahan dan koleksi bagi tujuan pembelajaran, penyelidikan dan pembelajaran sepanjang hayat.
Matlamat utama projek berkenaan adalah akan berupaya menyediakan peralatan bagi memudahkan kerja-kerja para pustakawan seperti indeks, abstrak, bibliografi, daftar nama pengarang, menerbitkan buku Key Reference Sources on Brunei Darussalam, garis pandu perpustakaan digital serata piawaian. BLA merupakan pembimbing dan penasihat bagi menjayakan projek berkenaan.