Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek kumpul sumbangan untuk OKU

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Untuk membantu golongan orang kelainan upaya (OKU) sekali gus beramal pada bulan yang mulia, Unit Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), Bahagian Perkhidmatan Orang Kelainan Upaya, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) akan melaksanakan projek pengumpulan sumbangan iaitu Projek Kasih OKU bermula 1 hingga 20 Mei.

    Projek Kasih OKU merupakan projek pengumpulan sumbangan berupa makanan dan minuman untuk keperluan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri bagi murid-murid dan pelatih-pelatih Pusat Bahagia serta klien-klien OKU yang kurang berkemampuan setiap menjelang bulan Ramadan.

    Ia merupakan projek tahunan yang berterusan dan kali ketiga dijalankan di seluruh cawangan Pusat Bahagia di daerah-daerah.

    Objektifnya adalah untuk meningkatkan semangat kesukarelawan orang ramai terutamanya golongan belia-belia di Negara Brunei Darussalam agar sama-sama memeduli hal ehwal warga OKU sambil memenuhi elemen ‘komuniti’, memberikan keceriaan dan menanamkan rasa penerimaan OKU di dalam masyarakat terhadap warga OKU.

    Projek berkenaan juga memberikan peluang kepada orang ramai untuk membantu golongan OKU sekali gus beramal di bulan yang mulia dengan mengumpulkan sumbangan berupa makanan asasi dan keperluan alat bantu bersama persatuan sukarelawan OKU supaya dapat saling bantu-membantu meringankan beban individu OKU yang berdaftar di bawah senarai PDK yang mempunyai keluarga yang kurang berkemampuan agar mereka dapat menikmati amalan di bulan Ramadan serta persiapan Aidilfitri.

    Sehubungan dengan itu, Bahagian Perkhidmatan Orang Kelainan Upaya, JAPEM mengalu-alukan penglibatan orang ramai yang berkesudian untuk memberikan sumbangan bagi membantu meringankan beban warga OKU yang kurang berkemampuan.

    Antara barang-barang sumbangan yang diperlukan adalah makanan dan minuman untuk keperluan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri (kuih-muih dan kek Hari Raya, biskut dan minuman), makanan asasi (beras, tepung, makanan dalam tin), minuman (air mine-ral, 3-in-1, teh, kopi, nescafe, milo), keperluan alat bantu seperti lampin dewasa (adult diapers), kerusi roda dan kerusi mandi (commode chair).

    Orang ramai yang berhasrat untuk memberikan sumbangan bolehlah menghantarnya ke mana-mana cawangan daerah Pusat Bahagia termasuk Pusat Bahagia Brunei dan Muara, Jalan Kebangsaan, Kampung Pulaie, sepanjang tempoh pengumpulan selama 20 hari berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda