Tuesday, December 10, 2024
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek Lakastah Minum Air dilancar

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Dengan matlamat meningkatkan kesedaran tentang manfaat meminum air kosong yang mencukupi serta peranannya dalam menyokong kesihatan mental, Projek Lakastah Minum Air telah dilancarkan pada majlis yang diadakan di Dewan Qa’ah Ammah, Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, baru-baru ini.

    Selain itu, projek itu juga bertujuan memastikan sekolah menyediakan akses mudah dan konsisten kepada air minum.

    Hadir selaku tetamu kehormat sekali gus merasmikan projek itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin.

    Dalam ucapannya, Haji Maswadi menyatakan bahawa program itu akan menjadi asas kepada program yang lebih berstruktur dalam menyokong Inisiatif Sekolah Mempromosi Kesihatan. Ia adalah langkah penting ke arah menjadikan sekolah-sekolah di Negara Brunei Darussalam sebagai Sekolah Mempromosi Kesihatan dalam masa yang terdekat.

    “Alhamdulillah melalui projek ini, sebanyak sembilan buah mesin penapisan air telah ditaja oleh beberapa buah syarikat dan sumbangan peribadi bagi pemasangan di lapan buah sekolah di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama yang dikenal pasti mempunyai ramai penuntut dalam golongan kurang berkemampuan.

    Haji Maswadi menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang pada majlis yang berlangsung di Dewan Qa’ah Ammah, Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN IPA

    “Sebuah mesin telah dipasang di Sekolah Rendah Katok ‘A’; Sekolah Rendah Katok ‘B’; Sekolah Rendah Pengiran Anak Puteri Besar, Sungai Kebun; Sekolah Rendah Saba Darat; Sekolah Rendah Kapok; Sekolah Rendah Dato Mohammad Yassin, Mentiri; Sekolah Rendah Dato Othman, Lambak Kiri; dan dua buah mesin di Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Rimba.

    Majlis diteruskan dengan pelancaran buku Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Minum Air Kosong di Sekolah yang telah dihasilkan oleh Kumpulan Al-Afiah dengan kerjasama Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan sebagai dokumen rujukan khusus bagi pihak sekolah untuk memahami kepentingan minum air di sekolah dan cara melaksanakannya dengan berkesan.

    Buku tersebut antaranya menggariskan empat tindakan utama Dasar Minum Air kosong termasuk memperkenalkan pelaksanaan Hari Minum Air Kosong Sahaja pada setiap minggu di sekolah-sekolah seluruh negara bermula tahun persekolahan akan datang; dan pelaksanaan aktiviti water parade, iaitu guru-guru dan pelajar-pelajar meminum air kosong setiap kali sebelum kelas bermula untuk memupuk tabiat minum air kosong dalam kalangan komuniti sekolah.

    Majlis juga diselajurkan dengan penyampaian hadiah kepada enam orang pemenang Pertandingan Mencipta Poster bagi Kategori Sekolah Rendah Tahun 4 hingga Tahun 6, dan Kategori Sekolah Menengah Tahun 7 dan 8. Selain itu, penyerahan sijil penghargaan kepada para penaja Projek Lakastah Minum Air juga telah dilaksanakan.

    Projek itu adalah projek jangkauan komuniti yang dilaksanakan oleh Kumpulan Al-Afiah, salah satu kumpulan yang terdiri daripada lima orang pegawai kanan yang sedang mengikuti Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) Kohort ke-31, Tahun 2024 anjuran Institut Perkhidmatan Awam (IPA).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda