Friday, April 18, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek Lebuh Raya Pan Borneo Fasa 1 dijangka siap menjelang 2029

    KOTA KINABALU, 10 APRIL – Pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029, kata Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

    Musa berkata pelaksanaan pembinaan lebuh raya sepanjang 706 kilometer itu akan disegerakan memandangkan pembangunan infrastruktur dan utiliti adalah pemboleh daya utama dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.

    Beliau berkata pengurusan dan perkhidmatan bekalan air juga akan diperkasakan bagi memastikan rakyat Sabah terus menikmati akses air terawat yang berterusan.

    “Kerajaan optimis untuk memenuhi permintaan bekalan air bagi tempoh 30 hingga 50 tahun akan datang. Untuk itu, tiga strategi utama dilaksanakan iaitu meningkatkan pengeluaran air terawat, melaksanakan projek-projek bekalan air serta memperluas liputan bekalan air di luar bandar,” katanya hari ini.

    Musa berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar kerajaan negeri sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda