Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JULAI – Enam orang pegawai pengurusan pertengahan daripada Kumpulan Taallum yang terpilih untuk mengikuti Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) kali ke-35 kendalian Institut Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri petang tadi telah mengadakan Majlis Penyerahan Projek Literasi Digital bertempat di Dewan Jongsarat, Pusat Latihan, Jabatan Penjara.
Hadir di majlis berkenaan ialah Pengarah Institut Perkhidmatan Awam, Dr Hajah Noor Maya binti Haji Mohd Salleh dan Pemangku Pengarah Penjara, Awang Bahrin bin Haji Mohammad Yassin.
Projek Literasi Digital yang dianjurkan oleh Kumpulan Taallum adalah sebagai sebahagian daripada tugasan di bawah modul projek jangkauan masyarakat yang merangkumi penyediaan peralatan komputer untuk kegunaan para banduan dalam menjalani sesi pembelajaran digital.
Turut menjayakan projek berkenaan adalah kerjasama dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan Big BWN Project dalam penyediaan kursus pembelajaran literasi digital peringkat asas di Penjara Maraburong Fasa 1.
Projek kolaborasi itu adalah bagi mendukung Wawasan Brunei 2035 dalam melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, khasnya dan termasuk dalam memberikan peluang dan akses kepada pembelajaran sepanjang hayat kepada para banduan.

Salah satu objektif projek tersebut adalah untuk memberikan pembelajaran literasi digital kepada para banduan dalam memberikan mereka peluang untuk mempelajari ilmu kemahiran asas seperti Microsoft Word, Excel dan Powerpoint.
Dengan adanya peluang pembelajaran itu, para banduan akan dapat memperolehi kemahiran digital yang penting dan berguna untuk mereka dalam mendapatkan pekerjaan atau menjana pendapatan sendiri pada masa akan datang.
Dengan pelaksanaan projek berkenaan, diharap dapat menjadi pemangkin bagi organisasi lain untuk sama-sama memberikan sokongan dan peluang pembelajaran kepada para banduan bagi meningkatkan kemahiran digital.
Di samping itu, melalui projek itu juga diharap agar para banduan sedikit sebanyak dapat memanfaatkan pengetahuan berkenaan sebagai permulaan perubahan kepada kehidupan yang lebih baik dan khususnya meningkatkan perkembangan diri mereka.
Turut hadir ialah pegawai kanan di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, pegawai-pegawai di Jabatan Penjara dan IBTE, serta organisasi bukan kerajaan iaitu Big BWN Project, Aftercare Support Association (AFSA) dan Syarikat Unitek Technosolutions Sdn Bhd.
Majlis terdahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa serta ucapan alu-aluan oleh Ketua Kumpulan Taallum (EDPMMO-35), Pengiran Mahdini bin Pengiran Haji Ali, diikuti dengan penyerahan Projek Literasi Digital berkenaan kepada Jabatan Penjara.