Monday, January 27, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek mega tingkat bekalan elektrik Sabah

    TUARAN, 26 JAN – Beberapa projek penjanaan elektrik yang besar sedang dirancang bagi mengatasi masalah bekalan elektrik di Sabah, sekali gus meningkatkan rezab margin bekalan itu sehingga 30 peratus menjelang 2030, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

    Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh Energy Commission of Sabah (ECoS), antara projek yang dirancang adalah pembelian tenaga dari Sarawak pada tahun ini.

    Selain itu, katanya projek yang dirancang termsuk pembangunan loji janakuasa baharu berkapasiti 100MW pada 2026 dan 2027, serta pembangunan ladang solar berskala besar berkapasiti 100MW pada tahun depan.

    “Dengan pendekatan strategik oleh kerajaan Sabah untuk meningkatkan kapasiti penjanaan, kerajaan Persekutuan percaya masalah bekalan elektrik di Sabah dapat dikurangkan,” katanya berucap pada Program Sabah Electricity Bersama Komuniti serta Rumah Terbuka Krismas 2024 dan Tahun Baharu Cina 2025 hari ini.

    Turut hadir Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, dan Pengerusi Sabah Electricity, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

    Mengulas lanjut, Fadillah berkata kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) juga telah memperuntukkan sebanyak RM102.9 juta untuk pelaksanaan dan penyiapan projek-projek pengukuhan perkhidmatan bekalan elektrik di Sabah tahun ini. – Bernama

    Datuk Seri Fadillah Yusof (kanan) melakukan ‘Yee Sang’ sempena Majlis Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu Cina di Dewan Sri Sulaman Tuaran, kelmarin. Beliau berkata beberapa projek penjanaan elektrik yang besar sedang dirancang bagi mengatasi masalah bekalan elektrik di Sabah.– Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda