Monday, December 2, 2024
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek Memperkasa Ibu Tunggal dilancar

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Kumpulan Titih Hasanah telah melancarkan Projek Memperkasa Ibu Tunggal di salah sebuah hotel, di ibu negara baru-baru ini.

    Menurut kenyataan Institut Perkhidmatan Awam (IPA), majlis tersebut dihadiri oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Momin selaku tetamu kehormat; para pegawai kanan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga agensi-agensi yang mengambil bahagian dalam projek tersebut.

    Projek Memperkasa Ibu Tunggal merupakan satu projek jangkauan masyarakat di bawah Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) Kohort 31 Tahun 2024 anjuran IPA.

    Objektif projek tersebut adalah membantu ibu-ibu tunggal yang belum mempunyai pekerjaan bagi meringankan beban kewangan dalam menyara keluarga serta tanggungan mereka.

    Melalui projek itu, mereka berpeluang memperoleh pekerjaan yang bersesuaian dengan kebolehan masing-masing di syarikat-syarikat pada waktu kerja yang fleksibel.

    Seramai 24 pemohon telah mendaftar bagi mencari pekerjaan semasa sesi taklimat pekerjaan yang diadakan pada 19 Oktober dan setelah menjalani sesi temu duga di syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam projek itu, seramai 10 ibu tunggal telah terpilih dan memulakan pekerjaan dengan syarikat berkenaan iaitu Tarindak D’Polo, Tarindak D’Seni, Restoran PABO, Hotel Antarabangsa Rizqun, Centrepoint dan Coffee Bean & Tea Leaf Cafe.

    Projek itu diharap akan diteruskan bagi sama-sama menanamkan kesedaran kepada orang ramai untuk berganding bahu dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan seperti golongan ibu-ibu tunggal.

    Usaha seumpama itu dapat membantu kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup ibu-ibu tunggal melalui peluang pekerjaan berkenaan. Projek itu juga akan membantu syarikat swasta dalam mengurangkan kos perbelanjaan pengambilan pekerja asing serta meningkatkan kesedaran akan pentingnya mengambil peranan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat CSR masing-masing.

    Yang Berhormat Hajah Rosmawatty bergambar ramai bersama wakil agensi yang mengambil bahagian dalam projek tersebut. – GAMBAR SERAHAN IPA
    Yang Berhormat Hajah Rosmawatty semasa melancarkan Projek Memperkasa Ibu Tunggal di salah sebuah hotel, di ibu negara baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN IPA
    GAMBAR SERAHAN IPA

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda