HANOI, 5 JUN – Konglomerat gergasi Jepun, Hitachi menuntut pampasan berjumlah lebih AS$150 juta daripada sebuah syarikat kereta api milik kerajaan di Vietnam berhubung kelewatan besar projek laluan metro pertama di Ho Chi Minh City, lapor media tempatan, hari ini.
Syarikat itu menyediakan peralatan untuk laluan baharu tersebut, termasuk enjin kereta api dan rel, menurut media tempatan.
Negara komunis itu mempunyai infrastruktur yang lemah, namun projek besar termasuk rangkaian metro di bandar-bandar besar dan lebuh raya merentasi laluan utama mengalami kelewatan yang teruk.
Bank Dunia menyatakan tahun lalu bahawa kekurangan infrastruktur akan mengekang keupayaan Vietnam untuk menarik dan mengekalkan pelaburan asing, termasuk perniagaan yang ingin berpindah dari China.
Ho Chi Minh City, pusat ekonomi Vietnam dengan populasi sekitar sembilan juta orang, masih belum mempunyai satu pun laluan metro yang siap.
Laluan Ben Thanh ke Suoi Tien sepanjang 20 kilometer, yang akan menjadi yang pertama, telah dibina sejak 2012 dan pada asalnya dijadualkan dibuka pada 2018.
Hitachi telah memfailkan saman di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Vietnam terhadap Pihak Berkuasa Pengurusan Kereta Api Bandaraya (MAUR) atas kelewatan selama 4,124 hari, menurut laman berita VNExpress.
Kelewatan tersebut disebabkan oleh beberapa faktor termasuk masalah kertas kerja, perubahan reka bentuk, masalah pembersihan tanah dan pandemik COVID, lapor media tersebut. – AFP


