Oleh Daniel Lim
BELAIT, 18 DIS – Sebagai sebahagian daripada satu siri aktiviti kesukarelawanan yang dilaksanakan sempena Hari Bertindak, Pergerakan Belia Minda telah memulakan kempen pengumpulan sumbangan dinamakan ‘Projek Minda Prihatin’, semalam.
Dianjurkan dengan sokongan Jabatan Belia dan Sukan cawangan Daerah Belait, projek berkenaan dilaksanakan untuk membantu mengumpulkan pelbagai keperluan makanan asas untuk disumbangkan kepada mereka yang memerlukan, khususnya keluarga yang terjejas akibat banjir, terutamanya di kawasan-kawasan pedalaman daerah ini, yang berlaku susulan hujan lebat.
Naib Presiden Pergerakan Belia Minda, Haji Abdul Afiq bin Zainuddin ketika ditemui menjelaskan bahawa antara barangan yang dikumpulkan dalam kempen berkenaan termasuk beras, minyak masak, makanan kering, makanan dalam tin, garam dan gula serta roti dan biskut.
Projek pengumpulan sumbangan berkenaan dijadualkan berlangsung sehingga 21 Disember, di mana orang awam boleh mengunjungi Pusat Belia Belait, bersebelahan Sekolah Menengah Chung Hua, Kuala Belait, dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 5 petang, untuk menyokong projek berkenaan dengan menghulurkan sumbangan yang diperlukan. Pada penghujung projek, ahli-ahli pergerakan tersebut dijadualkan mengunjungi keluarga-keluarga yang terjejas akibat banjir untuk menyerahkan bantuan yang dikumpulkan sekitar minggu depan, yang akan diadakan di Dewan Kemasyarakatan Kampung Bukit Sawat.
