Thursday, December 5, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek mudah rekaan elegan bangku unik

    Oleh Amri HTZ

    Memastikan ruangan rumah dihiasi untuk kedatangan tetamu juga sama penting dengan menjaga kebersihannya.

    Walaupun perhiasan yang ditempatkan cukup ringkas, jika kena pada tempatnya dan cukup unik, ia mampu untuk menyerikan lagi ruangan tersebut. Selain mendapatkannya di pasaran, memanfaatkan bahan yang terbiar dari alam juga mampu menghasilkan sesuatu yang luar biasa.

    Dengan peralatan dan barangan yang bersesuaian, kreativiti dan ketekunan ditanamkan dalam diri, walaupun bukan seorang pereka profesional, awda juga boleh menghasilkan sesuatu yang luar biasa.

    Persiapan awal sebelum memulakan projek

    Projek kali ini akan membawa awda menelusuri langkah-langkah pembuatan bangku daripada kayu terbiar. Sebelum memulakan projek, sediakan barangan seperti mesin gergaji rantai, pahat kayu, kertas pasir, berus dawai, pita pengukur, pensel, dowel, mesin gerudi , kertas dan cat pelindung.

    Langkah pembuatan cukup ringkas

    Kayu yang digunakan dalam projek ini merupakan yang terbiar dan telah lama tumbang serta mengering. Daripada dibiarkan mereput begitu sahaja tanpa dimanfaatkan, projek ini akan menggunakannya untuk mereka sesuatu yang berguna untuk diri sendiri selain menghiasi ruangan rumah.

    Pastikan kelengkapan perlindungan diri (PPE) digunakan semasa mengendalikan mesin gergaji rantai.

    Kertas digunakan sebagai templat untuk meniru kedudukan dowel pada bahagian bawah tempat duduk.
    Bahagian kaki bangku yang menggunakan kayu berlubang.
    Kayu tanpa lubang untuk bahagian tempat duduk.
    Kayu bahagian bawah tempat duduk yang telah ditebuk menggunakan mata gerudi bersesuaian dengan saiz dowel digunakan.

    Bentuk kayu yang dipilih di sini adalah yang mempunyai ruangan tengah yang berlubang.

    Tujuannya adalah bagi mendapatkan bentuk unik selain ringan untuk dipindah dari satu tempat ke tempat lain. Setelah mendapatkan pohon sedemikian, awda sudah boleh memulakan proses memotongkannya menggunakan gergaji rantai.

    Sebelum menghidupkan mesin, pastikan alat keselamatan seperti penutup telinga, pelindung muka, kepala dan baju serta kasut bersesuaian digunakan untuk keselamatan diri. Selain itu, ketajaman rantai mesin amat penting dalam memastikan potongan rata, mudah dan cepat.

    Tandakan kayu dengan panjang 14 inci sebelum memotongkannya di mana kawasan yang ditandakan merupakan panduan untuk awda memastikan panjang kayu diperlukan selain menjadi sandaran berapa banyak bangku boleh direka melaluinya.

    Setelah memotongnya, bersihkan permukaan luaran pohon daripada kulitnya. Jika kayu digunakan mempunyai kulit kayu yang mampu bertahan lama tanpa dibuang, awda hanya perlu membersihkan permukaan yang menajam bagi mengelakkan ia mencederakan anggota badan ketika tersentuh dengannya.

    Alat pahat kayu akan digunakan untuk memisahkan kulit kayu daripada permukaan kayu.

    Ia boleh dilakukan dengan cara menyelitkan hujung pahat pada kawasan pertemuan kulit dan permukaan kayu. Bagi kayu yang telah mengering, ia merupakan langkah mudah untuk menanggalkannya.

    Apabila berjaya menanggalkannya, permukaan kayu tersebut akan dibersihkan menggunakan berus dawai. Selain membersihkan ruangan yang kecil atau pori kayu yang sukar dibersihkan dengan hanya menyapukan berus sintetik, berus dawai juga memberikan efek tambahan dengan menghasilkan permukaan berjalur menambahkan keunikan rekaan.

    Bagi permukaan tempat duduk, pohon berbentuk bulat tanpa ruangan kosong atau berlubang digunakan. Ini bagi memastikan keselesaan ketika duduk di atasnya. Ukuran pohon tersebut hendaklah 2 inci lebih besar daripada kaki bangku. Sekurang-kurangnya potongan kayu dengan tebal 3 inci diperlukan agar ia tidak berubah bentuk sama ada melengkung atau mudah meretak jika terlalu nipis.

    Kulit kayu pada permukaan tempat duduk tersebut juga akan dibuangkan yang kemudiannya diikuti dengan proses meratakannya menggunakan ketam kayu atau kertas pasir tertakluk kepada bentuk pemotongan sebelumnya. Jika hasil potongan tidak rata (menggunakan gergaji rantai), permukaan tersebut perlu diseimbangkan keseluruhannya menggunakan ketam kayu.

    Manakala bagi potongan yang rata, awda bolehlah beralih kepada langkah melicinkan permukaan menggunakan kertas pasir berukuran 40 grit. Ia boleh dilakukan menggunakan mesin atau secara manual.

    Bagi awda yang melakukannya secara manual, gunakan blok span yang khusus untuk memegang kertas pasir selain memastikan permukaan yang digosok kekal sama rata. Ini diikuti dengan kertas pasir berukuran 120 dan 400 grit setelah setiap ukuran kertas pasir yang digosokkan menghasilkan permukaan yang rata dan licin.

    Bagi membolehkan awda mencantumkan bahagian kaki bangku dan tempat duduk, ruangan untuk pasak akan direka menggunakan kayu berbentuk bulat atau dowel. Ukur dowel yang digunakan kemudian tebuk ruangan bawah bahagian tempat duduk dengan kedalaman 1 inci dan 1 inci untuk bahagian atas bangku.

    Dalam memastikan kedudukan dowel selaras dengan lubang bahagian kaki dan bawah bangku, gunakan kertas sebagai templat yang kemudiannya dilekat pada bahagian lainnya untuk mendapatkan kedudukan lubang. Setelah berjaya melakukannya, sapukan dowel dengan gam kayu (termasuk lubang-lubang yang ditebuk) dan cantumkan bahagian kaki dan bawah bangku serta kekalkannya menggunakan alat pengepit kayu. Biarkan gam mengering beberapa jam sebelum beralih ke langkah seterusnya.

    Lebihan gam hasil mengetatkan cantuman menggunakan alat pengepit kayu sebelumnya perlu dibuangkan menggunakan pahat kayu. Pastikan langkah ini dilakukan dengan berhati-hati agar awda tidak merosakkan permukaan kayu yang telah diratakan sebelumnya.

    Dengan mengeringnya gam, langkah terakhir hanya memerlukan awda untuk menyemburkan cat pada permukaan kayu untuk melindunginya. Menggunakan cat jenis clear amat disarankan pada langkah ini bagi mengekalkan warna asli permukaan kayu.

    Sekurang-kurangnya dua lapisan cat harus disemburkan dengan memastikan lapisan pertama terlebih dahulu mengering sebelum memberikan lapisan kedua. Bangku DIY yang telah berjaya direka kini boleh digunakan untuk melayani tetamu yang bertandang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda