Tuesday, December 31, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek naik taraf sekolah daif siap

    KOTA KINABALU, 16 Sept – Sebanyak 10 projek menaik taraf dan membina semula bangunan sekolah daif menggunaan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) di Sabah telah disiapkan sepenuhnya, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

    Beliau berkata jumlah itu merupakan sebahagian daripada 120 projek menaik taraf serta membina semula sekolah daif di Sabah melibatkan peruntukan keseluruhan bernilai hampir RM500 juta.

    “Selebihnya (projek menaik taraf dan membina semula sekolah daif) masih lagi dalam pembinaan dengan kemajuan (pembinaan) ada mencapai 90 peratus (siap), 60 peratus dan projek sakit juga ada.

    “Projek sekolah daif (yang masih dalam pembinaan) akan dipantau lebih rapat,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek sekolah daif menggunakan kaedah IBS di Sekolah Kebangsaan (SK) Gudon dan SK Unggun di Manggatal, dekat sini, hari ini.

    Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Mohd Ghazali Abas; Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Nor Rizan Mohd Thani; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Hashim Paijan; dan Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Maimunah Suhaibul.

    Ismail berkata kelewatan menyiapkan projek menaik taraf dan membina semula sekolah daif antara lain disebabkan faktor reka bentuk selain kelulusan kebenaran merancang, dan pihaknya akan meniliti perkara itu bagi memastikan perancangan projek pembangunan sekolah daif di Sabah berjalan lancar.

    Kesemua projek menaik taraf dan membina semula sekolah daif di Sabah dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan, katanya.

    Mengenai lawatan, Ismail berkata kemajuan pembinaan SK Gudon belum ditahap memuaskan, bagaimanapun, beliau berpuas hati melihat kemajuan projek menaik taraf SK Unggun yang telah disiapkan dengan mempunyai kemudahan 15 bilik darjah serta sebuah makmal untuk kegunaan pelajar. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda