LABUAN, 21 JAN – Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memulakan kajian kebolehlaksanaan bagi projek naik taraf terminal feri Roll On-Roll Off (Ro-Ro) bernilai RM22 juta di pulau bebas cukai itu.
Pengarah JKR Labuan, Mohd Faizul Mohd Ali Hanapiah berkata taklimat mengenai rancangan naik taraf itu diadakan di terminal berkenaan yang melibatkan agensi utama, seperti Jabatan Laut, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan dan pihak polis.
Beliau berkata objektif utama taklimat itu antaranya termasuklah mendapatkan input awal dan menyelaraskan skop kerja dengan pihak berkepentingan.
“Kajian itu bertujuan memahami operasi dan keadaan fizikal terminal terbabit selain meneliti keperluan teknikal dan memastikan pematuhan kepada piawaian pihak berkuasa tempatan,” katanya kepada Bernama.
Selepas taklimat itu, sesi menyelam diadakan untuk memeriksa struktur jeti, seperti tanjakan dan tiang, serta pemeriksaan awal ini akan membantu pasukan reka bentuk memberi cadangan ujian dan pembaikan struktur yang diperlukan.
Sementara itu, Pengarah Laut Labuan Alimuddin Amirudin berkata kerja-kerja naik taraf untuk melancarkan operasi perkhidmatan feri akan meliputi pelbagai aspek termasuk tanjakan untuk menaikkan dan menurunkan kenderaan, kaunter tiket serta pintu masuk dan keluar terminal feri itu.
Peruntukan RM22 juta bagi naik taraf terminal feri itu diumukan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan beliau ke Labuan tahun lepas. – Bernama