Oleh Fadzli Ramli –
KINABATANGAN – Terik mentari memancar ketika bot kecil menyusuri Sungai Kinabatangan yang berlumpur, membelah habitat buaya dan haiwan liar lain di kawasan yang masih menjadi antara saki-baki hutan tropika Sabah.
Penulis bersama jurufoto, Arjasneh Ahmad dan juruvideo Bernama TV, Ahmad Jimmy menyusuri laluan air ini bukan untuk melihat pemangsa reptilia prasejarah itu, tetapi untuk mencari kelibat gergasi lembut – gajah Borneo – yang kian terancam habitatnya.
Aktiviti pembukaan tanah untuk ladang dan pembangunan telah menyusutkan kawasan jelajah haiwan besar ini, sekali gus mencetuskan konflik antara manusia dan gajah yang kini berlaku lebih kerap. Menemani pasukan media ini ialah Sharon Rahman, aktivis pemuliharaan dari RESPonsible Elephant Conservation Trust (RESPECT), lebih dikenali dalam kalangan komuniti setempat sebagai Mai.
Hampir empat jam berlalu sebelum panggilan radio diterima – seekor gajah dilihat berhampiran kawasan resort Tanini Kinabatangan di Kampung Bilit, sekitar 50 kilometer dari pekan Kinabatangan. Pasukan segera ke lokasi. Dua ekor gajah dewasa muncul terlebih dahulu dari rimbunan hutan, langkah haiwan itu gemalai meskipun saiznya besar.
Tidak lama kemudian, seekor anak gajah menyusul, kemudian dua lagi dewasa.
Beberapa bot pelancong juga berada di lokasi, namun suasananya sepi. Tiada suara bising, tiada bunyi klik kamera – hanya kekaguman senyap menyaksikan makhluk agung ini dari jarak dekat.
Gajah Borneo (Elephas maximus borneensis) ialah subspesies terkecil gajah Asia, hanya ditemui di utara pulau Borneo. Populasi gajah itu kini dianggarkan sekitar 1,000 ekor sahaja, tertumpu di Kinabatangan dan sebahagian kecil di Kalimantan, Indonesia. Keadaan ini mencetuskan keperluan mendesak untuk pendekatan pemuliharaan yang bukan sahaja melindungi habitat, tetapi juga membina jambatan persefahaman antara manusia dan haiwan ini.
DASAR
Di Sabah, Gajah Borneo dilindungi di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997. Namun penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak mencukupi untuk mengelakkan kepupusan. Menyedari hakikat ini, kerajaan negeri melancarkan Pelan Tindakan Gajah Borneo (2020–2029) sebagai pelan jangka panjang.
Pelan ini digariskan sebagai dasar pragmatik dengan fokus kepada perlindungan habitat, pengumpulan data saintifik, dan paling penting, strategi mitigasi konflik manusia-gajah yang semakin kerap.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew berkata, “Kita bercakap tentang strategi kelangsungan hidup jangka panjang – bukan sekadar bercakap tetapi berusaha bersungguh-sungguh untuk menghalang haiwan ini daripada pupus.”
Tambah beliau, “Sebenarnya, gajah antara haiwan yang paling saya suka. Kita di Borneo ini sangat bertuah kerana ada spesies ini. Jadi, kita mesti lindungi mereka.”
Katanya, banyak zoo antarabangsa pernah menyuarakan hasrat untuk mendapatkan gajah Borneo.
“Saya beritahu mereka tidak boleh… buat masa ini tidak boleh.”
Pelan tindakan ini turut menekankan pengurusan gajah dalam kurungan secara beretika – bukan sekadar menjadikan mereka pameran dalam kandang konkrit. Ia menggariskan keperluan koridor habitat, sokongan komuniti, dan penguatkuasaan undang-undang yang lebih holistik.
“Pelan tindakan ini telah menghasilkan impak yang ketara, dengan beberapa inisiatif utama sedang dilaksanakan,” ujar Christina Liew, optimis.
PROGRAM 3R
Pelan Pengurusan Gajah Dalam Kurungan, salah satu komponen pelan tindakan, dilancarkan pada April tahun ini. Peralihannya daripada pendekatan ‘sentuhan bebas’ kepada ‘sentuhan terlindung’ bertujuan melindungi kedua-dua penjaga dan haiwan, serta memperbaiki kualiti penjagaan.
Program 3R – Rescue (selamatkan), Rehabilitation (pulihkan), Release (lepaskan) – kini beroperasi menerusi dua pusat utama: Pusat Perlindungan Gajah Borneo di Kinabatangan dan Taman Hidupan Liar Lok Kawi di Kota Kinabalu. Kedua-duanya bukan hanya menjadi tempat pemulihan, malah simbol harapan terakhir bagi spesies ini.
“Apabila gajah ini sakit, kami bawa mereka ke pusat perlindungan untuk dirawat. Apabila sudah sihat dan sedia untuk kembali ke hutan, kita akan lepaskan (ke hutan) apabila tiba masanya,” jelas Liew.
“Inilah usaha terakhir kita untuk haiwan mengagumkan ini. Kita perlu pastikan kejayaan projek ini, kerana, kalau tidak mereka tidak akan wujud lagi.”
RUMPUT NAPIER
Satu lagi inisiatif inovatif ialah penanaman rumput napier – sumber makanan alternatif bagi gajah liar. Ia bertujuan mengalihkan perhatian haiwan tersebut daripada ladang sawit dan kebun penduduk yang sering menjadi sasaran semasa musim kemarau.
Bermula sebagai projek kecil di kawasan 0.4 hektar pada Mac tahun lepas, kini lebih sembilan kilometer tanah di sepanjang Sungai Kinabatangan telah diliputi rumput napier oleh NGO RESPECT dengan sokongan komuniti dan Intrepid Foundation dari Australia.
Alexander Yee, Pengerusi RESPECT berkata, “Ini bukan tentang beri mereka makan… tetapi mencorakkan semula konflik agar dapat hidup bersama-sama secara harmoni.”
Beliau mengimbas detik penting dua bulan selepas penanaman, “Tujuh ekor gajah termasuk seekor anak terjumpa rumput tersebut dan memakannya sampai separuh habis.”
Penemuan itu menjadi titik tolak kejayaan inisiatif ini. Menjelang Januari, projek diperluaskan ke kawasan pedalaman seluas 13.5 hektar lagi di rizab Kampung Bilit, mewujudkan Koridor Makanan Gajah Borneo. Gajah kini dilihat semakin kerap kembali – termasuk satu kumpulan lebih 20 ekor yang kekal sepanjang hari di kawasan ragutan.
Rumput napier yang ditanam oleh RESPECT juga didapati lebih manis berbanding varieti biasa – menjadikannya lebih menarik buat gajah. Gajah juga suka rumput perupok dan barau, namun kajian lanjut masih dijalankan bagi menilai keberkesanannya sebagai alternatif jangka panjang.
“Kami memerlukan sokongan jangka panjang daripada semua pihak, iaitu kerajaan, NGO dan komuniti setempat,” tegas Yee.
PADANG RAGUT GAJAH
Di Lahad Datu, usaha serupa dilaksanakan oleh Borneo Rhino Alliance (BORA) menerusi padang ragut gajah Malambabula seluas 33 hektar – satu projek besar berasaskan prinsip mudah: sediakan ‘bufet tanpa had’ untuk gajah di kawasan mereka sendiri.
Projek ini bermula pada Ogos 2021 hasil kerjasama dengan The Hornbill Award dan syarikat Kuala Lumpur Kepong Berhad.
Dr Zainal Zahari Zainuddin dari BORA menjelaskan bahawa reka bentuk padang ragut ini mengambil kira semua keperluan gajah – termasuk aliran air dari Sungai Malambabula dan kemudahan jenut garam sebagai sumber zat.
Menurutnya, gajah-gajah memakan kira-kira 20 tan rumput – enam hari tanpa sebarang insiden konflik antara manusia dan gajah di kawasan tersebut.
Menariknya, gajah-gajah ini membentuk jadual semula jadi mereka – bersembunyi di hutan waktu siang dan makan waktu malam hingga subuh.
“Baru-baru ini mereka duduk di sana selama tiga minggu… satu bonus buat kami.”
Zainal berharap anak-anak gajah akan mengingati lokasi itu dan membawanya kepada generasi seterusnya.
“Kami mahu anak-anak gajah ini simpan kenangan tersebut hingga dewasa, supaya apabila mereka dewasa, mereka akan bawa kumpulan mereka kembali ke sini, seperti yang dilakukan oleh ibu-ibu mereka sekarang.”
Gajah bukan sekadar makhluk besar – mereka hidup dalam struktur sosial kompleks yang diketuai matriark. Kawanan akan berpindah lokasi jika anak-anak tidak mendapat makanan mencukupi.
“Jika anak-anak mereka tidak dapat makan, seluruh kawanan akan bergerak mencari kawasan makanan yang lebih sesuai. Tidak ada tolak ansur,” tegas Zainal.
Maka rumput muda disediakan secara khusus bagi anak-anak ini, agar satu kawanan tidak perlu berpisah. – Bernama