Monday, May 12, 2025
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek Nuara Group tersenarai juara

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 April – Wakil firma pembangunan perisian dan IT tempatan, Nuara Group telah berlepas ke Geneva, Switzerland, hari ini, untuk menghadiri Majlis Penganugerahan Hadiah Sidang Kemuncak Sedunia mengenai Masyarakat Maklumat (WSIS) 2019 setelah terpilih dalam senarai juara Hadiah WSIS.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar ialah Pemangku Penolong Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI), Hajah Ismawati binti Haji Ismail.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan AITI, Hadiah WSIS adalah pertandingan antarabangsa yang unik untuk menilai dan mengiktiraf individu-individu, kerajaan, masyarakat awam, agensi-agensi setempat, serantau dan antarabangsa, institusi penyelidikan dan syarikat swasta bagi kejayaan luar biasa dalam melaksanakan strategi-strategi berorientasikan pembangunan yang menggunakan kuasa ICT sebagai pemacu pembangunan berkenaan.

    Kenyataan menjelaskan, fasa penyertaan yang bermula pada 2 Julai hingga 5 Disember 2018, telah menerima jumlah rekod sebanyak 1,140 penyertaan dengan 1,062 telah dicalonkan bagi Hadiah WSIS 2019.

    Bagi tempoh 21 Disember 2018 hingga 10 Februari 2019, lebih 2 juta undian telah dibuat bagi projek-projek berkenaan dan diikuti dengan penilaian komprehensif oleh kumpulan pakar.

    Sebanyak 90 projek dan inisiatif berkaitan ICT telah dinamakan sebagai juara dan dari sana, 18 orang pemenang akan menerima anugerah bagi setiap 18 kategori pada majlis yang akan diadakan esok.

    Menurut AITI, projek Nuara Group iaitu Nuara E2 – Effective and Efficient telah dinamakan sebagai juara dan antara lima projek teratas yang diundi dalam Kategori 8 iaitu Aplikasi ICT/E-Perniagaan.

    Projek Nuara E2 menyediakan perisian perancangan sumbersumber perusahaan boleh disesuaikan dan komprehensif bagi perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana.

    Sifat modul perisian ini, yang termasuk ciri-ciri daripada pengurusan tenaga manusia hingga inventori kepada jualan dan pengurusan tempahan, membolehkan syarikat-syarikat untuk melancarkan operasi perniagaan yang menyediakan mereka dengan penyelesaian sehenti.

    Kenyataan menyatakan, AITI bertindak sebagai titik fokal dan pemudah cara bagi penyertaan Hadiah WSIS selepas melibatkan sektor awam dan swasta untuk menghadapkan projek-projek mereka bagi pertimbangan. Pada tahun ini, tiga projek (dari Nuara Group, Mindplus Education dan Teleconsult) diserahkan dari Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda