Monday, October 28, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek padi hibrid tingkatkan kemandirian

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Majlis Pelancaran Project on Hybrid Rice Senior Expert Consultant in Brunei Darussalam telah dirasmikan kelmarin di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP).

    Hadir bagi merasmikan pelancaran berkenaan ialah Setiausaha Tetap di KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab.

    Hajah Tutiaty ketika menyampaikan ucapannya menghargai kerjasama dengan Yuan Long Ping High-Tech Agriculture Co Ltd dalam usaha negara untuk mencapai inovasi pertanian dan kemandirian dalam pengeluaran padi.

    “Kerjasama kita bermula pada tahun 2017, dengan dua kursus latihan yang pertama berlangsung di Hunan, Republik Rakyat China selama satu musim penanaman dari Mei hingga Ogos 2017, diikuti dengan kursus intensif selama 45 hari di Brunei dari November hingga Disember 2017.

    “Sejak itu, mereka telah menyokong inisiatif penyelidikan dan pembangunan kita dengan berkongsi germplasma mereka, yang telah melalui ujian ketat untuk menentukan varieti yang sesuai dengan keadaan persekitaran Brunei,” ujarnya.

    Sesi bergambar ramai di Majlis Pelancaran Project on Hybrid Rice Senior Expert Consultant in Brunei Darussalam. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Pusat Penyelidikan Padi Hibrid Hunan dan Universiti Pertanian Hunan kerana menghantar pakar mereka ke Brunei Darussalam untuk menjalankan latihan itu, di mana pengetahuan dan pengalaman mereka yang mendalam adalah sangat berharga dalam meningkatkan kapasiti dalam pengeluaran padi hibrid serta benih hibrid.

    Dalam ucapan beliau turut menyentuh mengenai dengan objektif kursus latihan yang direka untuk memberdayakan dan mendidik profesional pertanian Brunei serta petani progresif mengenai pengeluaran benih padi hibrid dan pengurusan padi yang komprehensif.
    Beliau berharap melalui penguasaan dan penerapan teknik-teknik canggih berkenaan, peserta dapat menjadi penyumbang penting kepada peningkatan hasil padi
    dan memastikan pengeluaran padi yang lebih mampan dan berdaya tahan.

    Latihan tersebut akan membantu mengukuhkan keselamatan makanan negara, yang sangat penting di tengah ketidakpastian di masa hadapan, terutama disebabkan oleh perubahan iklim.

    Mengenai dengan peranan peserta dan kepentingan latihan, beliau mengakui bahawa kumpulan peserta yang pelbagai yang menghadiri kursus itu, termasuk pegawai dari Jabatan Pertanian dan Agrimakan, pelbagai institusi pengajian tinggi, serta petani dengan pengalaman praktikal yang berharga dalam penanaman padi hibrid.

    Menurut Hajah Tutiaty, penglibatan para peserta adalah penting, kerana para peserta yang akan menerapkan amalan terbaik dan teknologi baharu yang akan para peserta pelajari.

    Menyentuh tentang impak teknologi padi hibrid di Brunei pula, teknologi padi hibrid telah membawa perubahan positif kepada Brunei.

    Sejak memulakan pengeluaran padi hibrid, kemandirian padi telah meningkat daripada 4 peratus kepada 8 peratus, satu petunjuk jelas mengenai kuasa transformasi hibrid dalam landskap pertanian.

    Projek itu dianjurkan bersama oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan Yuan Long Ping High-Tech Agriculture Co Ltd dengan sokongan daripada Kementerian Perdagangan, Republik Rakyat China.

    Projek juga melibatkan kursus yang akan berlangsung selama 45 hari iaitu dari 23 Oktober hingga 6 Disember di Brunei Darussalam.

    Seramai tujuh tenaga pengajar dari Yuan Long Ping High-Tech Agriculture Co Ltd mengendalikan kursus tersebut yang disertai oleh seramai 35 peserta dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Universiti Brunei Darussalam, Universiti Teknologi Brunei, Institut Pendidikan Teknikal Brunei Kampus Agroteknologi serta peladang-peladang padi
    tempatan.

    Kursus itu bertujuan untuk membangunkan kapasiti peladang tempatan dalam teknologi pembiakan, pengeluaran benih padi hibrid serta pengurusan padi hibrid bagi memastikan kejayaan berterusan penggunaan teknologi padi hibrid di negara ini.

    Ia juga sebahagian daripada kerjasama berterusan di antara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China dalam bidang penanaman padi.

    Dengan adanya kerjasama itu, ia dihasratkan dapat mendukung inisiatif KSSUP untuk meningkatkan produktiviti padi di Brunei Darussalam di ladang-ladang berpengairan dan tadahan hujan melalui penggunaan padi hibrid untuk memastikan kedayatahanan pengeluaran padi tempatan.

    Turut hadir di majlis tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Xiao Jianguo; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara; Timbalan Pengarah Yuan Long Ping High-Tech Agriculture Co Ltd, Ji Shaoqin; serta pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai daripada jabatan-jabatan di bawah KSSUP serta peserta-peserta kursus.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda