Wednesday, April 24, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Projek Pantri Kitani bantu golongan memerlukan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    Setelah mengambil kira keadaan semasa di Negara Brunei Darussalam, terutamanya aspek kenaikan harga termasuk barangan asasi yang merupakan isu dan faktor yang paling banyak mempengaruhi perbelanjaan bulanan orang ramai, maka, projek yang dikenali sebagai Pantri Kitani telah dilaksanakan untuk membantu golongan yang memerlukan.

    Pantri Kitani merupakan sebuah platform bantuan makanan berkonsepkan pantri komuniti yang diungkayahkan di bawah Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Peringkat Pertengahan (EDPMMO) yang ke-33.

    Ia bertujuan menyediakan bantuan barangan makanan melalui dua konsep pengagihan iaitu secara terbuka dan juga secara sasaran kepada mereka yang memerlukan ke arah sama-sama memelihara kesejahteraan masyarakat.

    Majlis Pelancaran Pantri Kitani telah diadakan pada 9 Mac 2023 di BIBD Connects Lambak.

    Acara dihadiri oleh Penolong Pengarah Institut Perkhidmatan Awam, Hajah Roslizawati binti Haji Ibrahim dan Ketua Perhubungan Kerajaan dan Projek-projek Khas, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Haji Mohammad Yusri bin Wahsalfelah yang seterusnya melancarkan Pantri Kitani.

    Hajah Roslizawati dan Haji Mohammad Yusri semasa melancarkan Pantri Kitani sambil disaksikan oleh Dayang Noorhazwani (kiri) pada majlis yang berlangsung di BIBD Connects Lambak.
    Antara yang mengunjungi Pantri Kitani semasa pelancarannya.
    Dayang Noorhazwani semasa menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Pantri Kitani baru-baru ini.
    Antara barangan yang diterima di Pantri Kitani.
    Antara barangan yang diterima di Pantri Kitani.
    Hajah Roslizawati ketika mengunjungi Pantri Kitani.

    Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah ketua-ketua kampung dan wakil-wakil daripada badan-badan bukan kerajaan.

    Dalam ucapan yang disampaikan oleh Pegawai Penyelidik Kanan, Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik, Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kementerian Pertahanan, Dayang Noorhazwani Ariffin, selaku Ketua Kumpulan Goodwill Krew, antara lain mengongsikan bahawa projek itu menerima sambutan yang baik daripada orang ramai dan penderma dan diharapkan ia dapat diteruskan untuk sama-sama mencapai objektif membantu dan menceriakan orang-orang yang memerlukannya.

    Beliau turut berharap agar konsep dan model usaha Pantri Kitani itu dapat diguna pakai oleh banyak pihak di negara ini pada masa akan datang.

    Projek Pantri Kitani diungkayahkan oleh Kumpulan Goodwill Krew yang terdiri daripada tujuh orang pegawai kerajaan pengurusan pertengahan yang sedang mengikuti EDPMMO ke-33 yang dikendalikan oleh Institut Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri.

    Konsep Terbuka dalam pengagihan barangan di Pantri Kitani dibukakan kepada individu berusia 18 tahun dan ke atas yang memerlukan, di mana mereka dialu-alukan untuk datang bagi mendapatkan bekalan barangan makanan yang disediakan, tertakluk kepada terma dan syarat.

    Mereka boleh memilih beberapa barangan yang berbeza dalam bilangan yang dihadkan.

    Pendekatan ini turut membantu individu yang mungkin tidak tersenarai dalam senarai bantuan sosial tetapi sedang menghadapi cabaran peningkatan kos makanan.

    Sementara itu, pengagihan dalam Konsep Sasaran pula adalah memastikan barang-barang keperluan diagihkan kepada individu yang paling memerlukan.

    Kumpulan Goodwill Krew akan menghantar pakej bantuan khas kepada penerima yang telah dikenal pasti melalui senarai penerima yang disediakan oleh agensi-agensi berkaitan dan juga ketua kampung dalam kawasan sasaran, serta kawasan lain di bawah projek-projek EDPMMO33/2023.

    Di samping itu, sumbangan ikhlas daripada orang ramai turut dialu-alukan dalam bersama-sama menjayakan Pantri Kitani, yang akan beroperasi dari 9 hingga 11 Mac 2023.

    Antara barangan yang diterima termasuk beras, minyak masak, telur, makanan tin, makanan dalam botol, makanan kering seperti mi, biskut, bijirin, sos cili, sos tomato, kicap, mentega, kaya, keropok, kacang, minuman kotak, minuman campur (kordial, oren), minuman tiga dalam satu, serbuk teh dan kopi, milo, susu manis, makanan kering yang lain-lain.

    Manakala makanan yang tidak diterima adalah bahan-bahan mentah seperti ayam, ikan, daging dan sayur-sayuran.

    Bagi mencapai objektif projek, pihak penganjur turut memberikan beberapa garis panduan semasa pengambilan barangan makanan asasi yang disediakan seperti had umur penerima berusia 18 tahun ke atas sahaja dibenarkan mengambil dan perlu membawa kad pengenalan bersama bagi tujuan pengesahan semasa mengambil barang.

    Untuk memberi kemudahan kepada orang lain, individu yang datang juga disarankan tidak mengambil masa yang lama memilih dan mengambil barangan yang disediakan Pantri Kitani.

    Bagi memberi peluang dan kesempatan kepada orang lain yang berhasrat untuk mengambil barangan, setiap individu disarankan hanya mengambil barang yang diperlukan saja dan dihadkan kepada lima barangan berlainan bagi setiap seorang.

    Kumpulan Goodwill Krew ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih atas nasihat, sokongan, sumbangan, dan bantuan pihak-pihak yang telah membantu merealisasikan projek berkenaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...