COLOMBO, 13 DIS – Projek pelabuhan konglomerat India, Kumpulan Adani di Sri Lanka akan diteruskan walaupun dakwaan Amerika Syarikat (AS) terhadap pengasasnya dan perubahan mendadak dalam pembiayaannya, kata negara itu hari ini.
Dakwaan mengejutkan di New York pada bulan lepas menuduh jutawan Gautam Adani dan beberapa rakan sekerja sengaja mengelirukan pelabur antarabangsa sebagai sebahagian daripada skim rasuah.
Tuduhan itu mendorong saham Adani merosot dan sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai tadbir urus korporat di firma itu, di mana pengasasnya dianggap sekutu rapat Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Namun Menteri Pelabuhan Sri Lanka, Bimal Ratnayake berkata dakwaan terhadap Adani tidak mempunyai kaitan dengan projek terminal kontena laut dalam di ibu negara Colombo.
“Masalah antara Adani dan AS… bukan kebimbangan kami,” beritahunya kepada pemberita semasa melawat pelabuhan malam kelmarin.
“Adalah penting bagi kami pembangunan terminal kontena barat oleh Adani diteruskan.”
Ratnayake berkata projek itu perlu untuk menjana pendapatan bagi ekonomi Sri Lanka yang lembap, masih belum stabil selepas krisis yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan kegagalan membayar hutang asing pada 2022.
Projek pelabuhan itu mempunyai anggaran kos AS$700 juta dan terletak bersebelahan kemudahan yang dikendalikan oleh China.
Komen Ratnayake dibuat beberapa hari selepas Kumpulan Adani menarik balik permintaannya untuk mendapatkan pinjaman yang disokong kerajaan AS sebanyak AS$553 juta susulan dakwaan New York.
Perjanjian pinjaman dengan Perbadanan Kewangan Pembangunan Antarabangsa AS (DFC) telah dimuktamadkan tahun lepas, dengan projek itu dilihat pada masa itu sebagai satu cara untuk membendung pengaruh Beijing yang semakin meningkat di Lautan Hindi.
Sri Lanka terletak di laluan perkapalan paling sibuk di dunia, yang menghubungkan Timur Tengah dan Asia Timur, memberikan kepentingan strategik kepada aset maritimnya.
Kumpulan Adani berkata ia kini akan membiayai projek itu daripada tabungnya sendiri. – AFP