MALAYSIA – Penduduk Kampung Jelempok, Arau mengambil inisiatif menyalakan pelita panjut secara besar-besaran iaitu sebanyak 1,800 pelita dalam pelbagai bentuk sepanjang 1.5 kilometer di sekitar kampung itu menerusi Projek Pelita Raya@Aidilfitri.
Bertujuan menghidupkan semula tradisi orang lama, pengarah projek Aiman Muhaimin Purkhan, 28, berkata penduduk kampung mahu mengembalikan nostalgia dan mengeratkan lagi silaturahim menerusi aktiviti gotong-royong selain menceriakan suasana Aidilfitri.
“Semua pelita ini dipasang hasil sumbangan dan usaha gotong-royong penduduk dengan kos keseluruhan kira-kira RM6,000 dan kerja-kerja untuk menyiapkan dan menyalakan pelita ini bermula sebelum Ramadan lagi.
“Penduduk mengumpulkan lebih 800 batang buluh untuk projek pelita ini yang diperoleh secara percuma daripada penduduk setempat dan malam ini (malam tadi) kami berjaya siapkan projek ini dan menyalakan kesemua pelita secara serentak bagi mewujudkan suasana karnival,” katanya ketika ditemui pemberita di kampung itu malam tadi.
Aiman Muhaimin berkata sambutan luar biasa penduduk menunjukkan bahawa tradisi itu masih relevan dan perlu diteruskan pada masa akan datang, serta kejayaan penganjuran kali pertama itu memberikan keyakinan untuk mereka menjadikannya sebagai acara tahunan.


Dalam pada itu, pengunjung yang menyaksikan nyalaan pelita itu, Noraziha Ali, 44, berkata projek berkenaan mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanaknya apabila pelita panjut menjadi simbol kemeriahan lebaran.
“Dulu hampir setiap rumah memasang pelita tetapi kini ia semakin kurang. Dengan adanya program seperti ini, sekurang-kurangnya tradisi itu dapat dihidupkan kembali,” katanya.
Seorang lagi pengunjung Shahrizal Seman, 46, berkata usaha tersebut bukan sahaja mencantikkan kampung malah dilihat dapat memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan penduduk.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Sains, Teknologi dan Inovasi Perlis Mohd Ridzuan Hashim berkata projek itu dicadangkan sebagai pertandingan peringkat kawasan DUN di negeri itu pada masa hadapan.
“Jika sambutannya terus meriah seperti ini, kita boleh adakan pertandingan antara kampung di setiap DUN untuk menyemarakkan lagi semangat Aidilfitri,” katanya. – Bernama