Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek Pembangunan Sosial tingkat keselamatan Kampung Sungai Pandan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Dalam usaha untuk meningkatkan keselamatan dan mata pencarian masyarakat Kampung Sungai Pandan serta kawasan sekelilingnya, Projek Pembangunan Sosial sedang dilaksanakan melalui aktiviti keduanya iaitu melibatkan kerja-kerja membaik pulih pelantar laluan di kampung tersebut.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Green Brunei, di sini, projek itu merupakan inisiatif oleh Mitsubishi Corporation Brunei Liason Office dengan kerjasama Green Brunei dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN).

    Projek itu dijangka akan berjalan selama sebulan di mana ia menumpukan kepada kerja-kerja membaik pulih pelantar laluan sepanjang 150 meter di sekitar Balai Ibadat Kampung Sungai Pandan dan jeti.

    Inisiatif itu bermatlamat untuk mening-katkan infrastruktur kawasan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan para penduduk serta pengunjung.

    Untuk menandakan bermulanya kerja-kerja berkenaan, majlis khas telah diadakan di Kampung Sungai Pandan dengan dihadiri oleh Penghulu Mukim Zon 2 Kampong Ayer dan Pemangku Penghulu Mukim Zon 1 Kampong Ayer, Awang Raimi bin Awang Rashid; Pemangku Ketua Kampung Zon 1 Kampong Ayer, Haji Tarip bin Haji Asgar; Pemangku Ketua Kampung Zon 2 Kampong Ayer, Haji Mayalin bin Haji Saat; Pemangku Ketua Kampung Zon 3 Kampong Ayer, Awang Rahman bin Haji Kassim; Pemangku Ketua Kampung Zon 4 Kampong Ayer, Awang Shamsuddin bin Haji Maidin, Wakil Negara Mitsubishi Corporation Brunei Liason Office, Tadashi Hara dan wakil-wakil daripada Pejabat Daerah Brunei dan Muara.

    Di samping kerja membaik pulih pelantar laluan itu, tujuh bengkel memasak dan membuat kuih juga dikendalikan untuk menyediakan kepada penduduk Kampong Ayer dengan kemahiran yang boleh membantu mereka untuk menghasilkan pendapatan tambahan.

    Usaha kerjasama itu menandakan komitmen kuat kepada kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat Kampung Sungai Pandan dan kawasan-kawasan sekelilingnya.

    Ia juga merupakan bukti kepada kuasa kerjasama awam-swasta dalam memupuk pembangunan mampan serta mengangkat masyarakat setempat.

    Para pekerja membaik pulih pelantar laluan sepanjang 150 meter di sekitar Balai Ibadat Kampung Sungai Pandan dan jeti. – GAMBAR SERAHAN GREEN BRUNEI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda