Oleh Fadley Faisal –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Mahkamah Rayuan dalam keputusan pada 25 Jun tidak memihak kepada defendan dan telah menganugerahkan $6,400 kepada plaintif sebagai ganti rugi dalam pertikaian undang-undang mengenai pembangunan tanah yang dibelenggu masalah.
Tan Kai Haur @ Edward Tan, yang menjalankan perniagaan di bawah Edwood Real Estate Developer dan Pengiran Haji Zainal Ariffin bin Pengiran Seri Wijaya Pengiran Haji Ahmad selaku defendan dalam kes itu dan perayu di Mahkamah Rayuan, diwakili peguam Eric Siow dan Jonathan Cheok dari Tetuan J Cheok Eric.
Manakala responden dalam rayuan dan plaintif dalam kes itu, Zama’iah binti Haji Nayan dan Haji Kamsani bin Haji Ahmad, diwakili peguam Hakim Zakaria dan Rusyddin Bagol dari Tetuan Ahmad Zakaria & Associates.
Ketua Hakim Negara, Dato Seri Paduka Steven Chong, yang bersidang bersama Hakim Michael Lunn dan Sir Peter Gross, meneliti kes yang tertumpu kepada projek pembangunan yang dimulakan pada April atau Mei 2016 oleh defendan, yang melibatkan kerja-kerja tanah yang luas di atas harta mereka, termasuk penyaliran dan pengisian kolam.
Sementara itu, plaintif, pemilik tanah bersebelahan, mempertikaikan bahawa kerja-kerja pembangunan mengganggu sistem saliran air sedia ada, menyebabkan banjir teruk di tanah mereka. Mereka mengemukakan bukti-bukti yang menunjukkan korelasi langsung antara permulaan projek defendan dan permulaan insiden banjir, yang didakwa mereka tidak wujud sebelum ini.
Hujah utama dalam kes plaintif adalah pembinaan longkang konkrit di tapak longkang tanah sebelum ini, langkah yang diambil oleh plaintif selepas berbulan-bulan mengalami banjir.
Mereka menegaskan bahawa aktiviti defendan khususnya mengisi kolam dan memendapkan tanah untuk menaikkan paras tanah menyebabkan longkang tanah sedia ada tersumbat, memburukkan lagi masalah banjir.
Semasa perbicaraan, defendan membalas mengatakan kerja-kerja tanah mereka dijalankan mengikut pelan yang diluluskan dan menafikan kewujudan struktur penyaliran sedia ada yang penting.
Bagaimanapun, hakim mendapati bukti-bukti yang kukuh, termasuk bukti fotografi dan keterangan pakar, yang menyokong dakwaan bahawa plaintif bersikap cuai.
Mahkamah Rayuan menyimpulkan bahawa defendan sedar sepenuhnya tentang risiko yang ditimbulkan oleh tindakan mereka dan gagal mengurangkan risiko ini dengan sewajarnya. Walaupun dakwaan mengatakan tembok penahan dan aktiviti-aktiviti yang dilakukan jiran menyumbang kepada banjir, hakim menekankan bahawa tindakan defendan merupakan punca utama, seperti yang dibuktikan oleh keberkesanan langkah pembaikan plaintif sebaik sahaja longkang konkrit dipasang.
Selain ganti rugi yang diberikan atas kesusahan dan kesulitan yang dialami akibat banjir berulang selama lapan bulan, ganti rugi khas, yang dituntut tetapi tidak disokong oleh bukti yang mencukupi, telah ditangguhkan untuk dinilai oleh pendaftar mengikut budi bicara hakim.
Sehubungan itu, rayuan defendan telah ditolak, mengesahkan keputusan mahkamah perbicaraan yang mengarahkan mereka menanggung kos kedua-dua rayuan dan perbicaraan awal.