Oleh Daniel Lim
BELAIT, 25 FEB – Dalam menyokong Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei Darussalam, khususnya mengenai strategi 2 iaitu dasar yang melibatkan litupan hutan, Universiti Brunei Darussalam (UBD) menerusi Institut Penyelidikan Biodiversiti dan Alam Sekitar (IBER) menganjurkan Projek Penanaman Pokok Badas 2021 yang dilancarkan hari ini.
Pelancarannya telah disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Perhutanan di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Dayang Noralinda binti Haji Ibrahim selaku tetamu kehormat majlis.
Turut hadir ialah Pembantu Naib Canselor (Penyelidikan) di UBD, Dr Abby Tan Chee Hong; Kedua HSE dan Keselamatan di Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Haji Osmera bin Haji Othman dan Pengurus Korporat di BSP, Haji Mohd Jaafar bin Haji Awang Bakar yang turut sama membantu menanam anak pokok di kawasan berkenaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, projek berkenaan adalah projek penyelidikan kolaboratif UBD dan Singapore-MIT Alliance for Research and Technology (SMART). Ia turut disokong oleh Jabatan Perhutanan, KSSUP dan BSP.
Berjalan dari Februari 2021 hingga Mac 2022, projek itu akan memfokuskan tapak projek di hutan paya gambut Badas, Kuala Belait.



Sepanjang program penyelidikan selama setahun itu, sukarelawan UBD dan BSP serta orang awam akan membantu para penyelidik UBD-SMART dalam memantau kemandirian dan pertumbuhan 200 anak pokok spesies asli, Shorea albida yang akan ditanam di hutan paya gambut sepanjang Jalan Badas.
Ketua penyelidik UBD bagi projek berkenaan, Profesor Madya Dr Rahayu Sukmaria binti Haji Sukri ketika ditemui menjelaskan, Shorea albida adalah spesies yang mempunyai nilai pemuliharaan yang tinggi, endemik di hutan paya gambut Borneo dan pada masa ini diklasifikasikan sebagai terdedah dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN).
“Hutan paya gambut Brunei adalah salah satu kubu terakhir bagi Shorea albida yang paling kurang diganggu, sementara populasi di kawasan lain Borneo telah dibalak dengan giat dan spesies pokok berharga ini tidak kerap membiak,” jelasnya.
Projek berkenaan melengkapi penyelidikan-penyelidikan saintifik lain yang sedang dijalankan di kawasan Badas oleh pasukan penyelidikan UBD-SMART mengenai biodiversiti, hidrologi, geologi dan pemulihan hutan.
Projek-projek berkenaan bertujuan untuk mengetengahkan kawasan Badas kepada komuniti penyelidikan antarabangsa dan membantu mewujudkan Brunei sebagai pusat bagi penyelidikan hutan paya gambut tropika dengan UBD sebagai pemain utama dalam penyelidikan paya gambut tropika dan biodiversiti.