Projek penempatan nelayan bermula tahun depan

LABUAN, 4 DIS – Projek penempatan semula nelayan yang bernilai RM17juta di Kampung Belukut di sini akan dimulakan tahun hadapan kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil.

Katanya, projek tersebut di atas kawasan seluas empat hektar tanah kerajaan itu akan menempatkan 120 buah rumah setingkat untuk nelayan.

“Peruntukan tersebut adalah untuk penempatan semua nelayan (hanya untuk mereka yang tidak mempunyai tanah) akan turut dilengkapi dengan kemudahan seperti dewan masyarakat, tempat beriadah dan keperluan asas lain, sekali gus akan memberikan komuniti nelayan kualiti kehidupan yang lebih baik,” katanya selepas majlis penyampaian bantuan kepada nelayan yang terjejas akibat bencana alam di sini hari ini.

Muhammad Faiz berkata, sejumlah RM2.2 juta telah dibelanjakan sejak 2012 untuk membaiki rumah nelayan di Labuan.

“Projek tersebut telah diselaraskan Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) dan Persatuan Nelayan Labuan,” katanya.

Terdahulu Muhammad Faiz turut melawat 13 unit projek perumahan yang setiap satunya bernilai lebih kurang RM68,000 di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) LKIM di Kampung Bebuloh dan Kampung Lubok Temiang.

“Nilai keseluruhan 13 rumah tersebut adalah RM848,000. Kami sedang melakukan tugas kami bagi membantu memperbaiki taraf kehidupan nelayan, lima rumah telah siap, tiga masih dalam pembinaan dan lima lagi akan dibina pada tahun 2020,” katanya. – Bernama

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil (dua, kanan) ketika sesi lawatan kerja di jeti Kompleks Perikanan LKIM Kiamsam Labuan hari ini. – Bernama