Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek Perpustakaan EDGE, MKM semai prihatin komuniti

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Sekumpulan pelajar daripada Pusat Pembangunan Pendidikan Berbakat (EDGE) telah bekerjasama dengan Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) melaksanakan Projek Perpustakaan dengan menyampaikan sumbangan buku dan kemudahan bacaan.

    Dengan semangat untuk memperkasa pendidikan dan memupuk budaya membaca dalam kalangan murid, projek tersebut merupakan satu inisiatif komuniti yang memberi kesan besar kepada masyarakat, bukan sahaja melalui sumbangan tersebut tetapi juga dengan menyemai semangat keprihatinan sosial, tanggungjawab bersama dan budaya memberi dalam kalangan pelajar serta komuniti setempat.

    Projek itu menjadi wadah bagi generasi muda untuk memahami nilai pendidikan sebagai asas kemajuan dan salah satu usaha dalam memperkasa pendidikan di Negara Brunei Darussalam.

    Sempena sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia 2025 yang bertemakan Hari Saya, Hak Saya, projek tahun ini memperkukuh lagi sema-ngat usaha bersama EDGE dan MKM dalam memperjuangkan hak setiap kanak-kanak untuk belajar, membaca dan berkembang dalam persekitaran yang menyokong potensi mereka.

    Inisiatif tersebut sejajar dengan matlamat untuk memastikan setiap pelajar tanpa mengira latar belakang atau lokasi mempunyai akses kepada bahan bacaan yang dapat memperkaya minda dan memupuk kecintaan terhadap ilmu pengetahuan.

    Usaha sumbangan buku yang diteruskan di Sekolah Rendah Haji Tarif, Kampung Tamoi, melambangkan komitmen berterusan EDGE dan MKM dalam memperluas akses kepada bahan bacaan dan memperkukuh budaya membaca dalam kalangan murid sekolah rendah.

    Sebelum ini, kumpulan berkenaan telah membuat lawatan ke Sekolah Rendah Nakhoda Abdul Rashid, Menunggol, sebagai sebahagian dari usaha berterusan untuk menyediakan akses kepada bahan bacaan bagi pelajar-pelajar di kawasan bandar dan luar bandar di Negara Brunei Darussalam.

    Gambar ramai ahli EDGE dan MKM bersama murid Sekolah Rendah Haji Tarif. – GAMBAR SERAHAN EDGE, MKM
    Sesi penyerahan sumbangan buku ke Sekolah Rendah Haji Tarif, Kampung Tamoi. – GAMBAR SERAHAN EDGE, MKM

    GAMBAR SERAHAN EDGE, MKM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda