Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) hari ini telah memulakan hari pertama Projek Ramadan dengan mengagihkan hidangan bersungkai di tiga buah daerah di negara ini bagi membantu para klien MKM yang terpilih untuk mendapat makanan yang berkhasiat sebagai juadah berbuka puasa.
Projek kali ke-11 itu akan berlangsung sehingga 16 Ramadan dan pada kali ini ia dikendalikan oleh Naib Yang Di-Pertua I MKM, Haji Mohd Laini bin Haji Majid atas persetujuan daripada Yang Di-Pertua MKM, Awang Mohd Yusof Shaik bin Abdul Halim.
Haji Mohd Laini ketika ditemu bual di Ibu Pejabat MKM, Kampung Anggerek Desa hari ini, antara lain menjelaskan, projek ini mendapat kerjasama daripada para sukarelawan yang terdiri daripada kalangan penuntut-penuntut universiti, kolej dan pekerja-pekerja daripada pihak kerajaan dan swasta bagi membantu menyediakan dan menyusun paket persungkaian mengikut jumlah keluarga MKM yang menerima.
Bagi tahun ini, jelasnya, sebanyak 500 paket persungakaian diagihkan untuk Daerah Brunei dan Muara, 163 bagi Daerah Temburong dan Daerah Belait sebanyak 193 disediakan setiap hari selama 15 hari bermula dari Ramadan kedua hinggalah Ramadan ke-16.
Katanya lagi, “Iftar atau paket persungkaian yang disajikan berupa makanan yang berkhasiat terdiri daripada nasi, sayur dan lauk-pauk yang ditukar setiap hari, mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh MKM.”
Selain itu, kesemua perbelanjaan bagi projek ini merupakan hasil sumbangan dan sedekah daripada orang ramai. Beliau seterusnya menambah, pengagihan atau penghantaran iftar ini telah mendapat bantuan daripada sukarelawan dengan memberikan pembayaran elaun perbelanjaan minyak kereta masing-masing dengan jumlah yang ditetapkan.
Menerusi Projek Ramadan MKM ini, sambutan daripada orang ramai yang memberikan sumbangan adalah sangat menggalakkan.
Dengan adanya projek tersebut secara tidak langsung dapat menceriakan para klien MKM. MKM berharap akan lebih banyak lagi pihak tampil untuk memberi sokongan dan menyumbangkan derma atau sedekah, sekali gus membantu orang-orang yang kurang berkemampuan terutama sekali para klien MKM yang berdaftar.