Wednesday, March 19, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek rintis BPIS dilancar

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh James Kon

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Projek Rintis Sistem Maklumat Bas Penumpang (BPIS) merupakan salah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti sistem pengangkutan bas awam.

    Ia selaras dengan inisiatif dan pelan tindakan yang terkandung di bawah objektif pelan strategik Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi 2025 (MTIC 2025) dan juga visi di bawah pelan berkenaan iaitu Negara Pintar Terhubung.

    Majlis Pelancaran BPIS telah diadakan kelmarin di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan dihadiri oleh Setiausaha Tetap di MTIC, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.

    Projek rintis itu adalah hasil kerjasama antara MTIC dengan Kementerian Darat, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan (MLIT), Jepun melalui inisiatif program Bandar Raya Pintar yang disokong oleh ASEAN Mutual Partnership (Smart JAMP) di bawah Japan-ASEAN Smart Cities Network (ASCN).

    Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar dalam kata alu-aluannya menyatakan, sehingga ke hari ini, sebanyak 11 buah syarikat telah menjalankan aktiviti perkhidmatan bas awam di Brunei di mana lima syarikat beroperasi bagi Daerah Brunei dan Muara, sebuah syarikat bagi Daerah Belait dan lima syarikat yang menjalankan perkhidmatan bas awam laluan Seria ke Bandar Seri Begawan.

    Haji Mohammad Nazri semasa menyaksikan projek BPIS.
    Haji Mohammad Nazri bergambar ramai bersama wakil syarikat yang menandatangani memorandum kerjasama.

    Beliau berkata seperti dimaklumi, pengangkutan bas awam memang mempunyai cabaran dan isu yang perlu penambahbaikan.

    Antaranya isu itu ialah kekurangan atau ketiadaan maklumat perkhidmatan bas awam seperti jadual, maklumat laluan, kekerapan, kebolehpercayaan dan tahap keselesaan yang memerlukan penambahbaikan serta keadaan perhentian bas yang kurang memuaskan.

    Mengulas mengenai pelancaran BPIS, Haji Mohammad Salihin berkata penumpang bas boleh memuat turun aplikasi melalui Smart Mobility Operations Cloud (SMOC) Google Play Store dan Apple App Store yang boleh memberikan maklumat kepada pengguna mengenai pergerakan dan kedudukan bas awam secara masa sebenar.

    Beliau menyatakan harapan projek rintis berkenaan akan dapat menghasilkan maklumat dan data jumlah penumpang serta ketepatan masa bas yang akan dapat menyumbang kepada peningkatan sistem pengangkutan bas awam negara dengan penggunaan kaedah digital.

    Majlis diteruskan dengan majlis penandatanga-nan memorandum kerjasama antara Zenmove Inc dengan lima buah syarikat pengusaha bas iaitu Syarikat Kerjasama Kenderaan dan Pengangkutan Mukim Pengkalan Batu dengan Tanggungan Bhd, PHLS Sdn Bhd, ADBS Sdn Bhd, Syarikat Kerjasama Kampung Tanjong Nangka (SATENAGA) dengan Tanggungan Bhd serta Koperasi Tasamul Mukim Lumapas Bhd.

    Penandatanganan berkenaan telah disaksikan oleh Haji Mohammad Nazri yang juga menyempurnakan pelancaran aplikasi SMOC.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda