PHNOM PENH, 6 JULAI – Sebuah agensi pemuliharaan global mengumumkan projek bernilai RM177 juta bagi melindungi hutan Indo-Malaya yang merupakan antara kawasan hutan primer utama terakhir di dunia.
Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) bulan lalu memaklumkan, hutan Indo-Malaya, yang merentasi Bhutan hingga Papua New Guinea, menjadi habitat kepada lebih 5,000 spesies telah terancam.
IUCN turut memberi amaran, kira-kira 60 peratus daripada tumbuh-tumbuhan asal telah musnah, manakala baki hutan primer kini berdepan tekanan akibat amalan pertanian tidak mampan, pembalakan serta persaingan dalam penggunaan tanah.
Hutan itu memainkan peranan penting kepada lebih 560 juta penduduk di rantau itu dengan menyediakan sumber seperti seperti pengawalan air, penyingkiran karbon, kayu dan hasil hutan bukan kayu, menurut IUCN dalam satu kenyataan.
“Pendanaan Global Environment Facility (GEF) disediakan oleh negara penderma yang mengambil bahagian dan disalurkan kepada negara membangun serta negara dengan ekonomi dalam peralihan untuk memenuhi objektif konvensyen dan perjanjian alam sekitar antarabangsa,” kata pejabat media IUCN yang berpusat di Switzerland kepada Bernama.

IUCN mengumumkan inisiatif baharu yang dinamakan Program Bersepadu Hutan Asia Tenggara dan Pasifik yang bertujuan untuk memperkukuh kesihatan dan kesalingubungan hutan primer di seluruh rantau itu, kata IUCN.
Dilancarkan pada bengkel permulaan di Chiang Mai, Thailand, program itu bertujuan untuk memanfaatkan kepelbagaian biologi dan faedah iklim serta memastikan kelestarian mata pencarian penduduk setempat.
IUCN dan Pertubuhan Makanan serta Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) menjadi pelaksana utama projek itu.
Projek itu menyasarkan penambahbaikan pengurusan 3.2 juta hektar kawasan perlindungan dan lebih tujuh juta hektar landskap, memulihkan 8,500 hektar ekosistem terdegradasi serta mengurangkan 34 juta tan pelepasan gas rumah hijau.
Menurut IUCN, usaha itu dijangka akan memberi manfaat kepada hampir 20,000 orang. – Bernama

