KUCHING, 30 MEI – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, telah mengarahkan agar lima projek bermasalah di Sarawak yang melibatkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan RMK12 disiapkan sepenuhnya dalam tempoh RMK13 nanti.
Ahmad Zahid yang juga merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, antara punca kelewatan projek berkenaan termasuk isu tapak seperti permit, pengambilan tanah dan pertindihan jajaran paip, selain mengambil kira faktor cuaca.
“Oleh kerana RMK13 akan dibentangkan dalam sesi Dewan Rakyat yang akan datang, maka sebarang projek bermasalah diputuskan untuk disegerakan dan tempohnya mesti diselesaikan dalam RMK13 iaitu dari Rolling Plan 1 hingga 5.
“Contohnya, bukan projek bermasalah, tetapi projek yang ditangguhkan seperti Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Lawas yang telah mendapat kelulusan tetapi belum dilaksanakan. Arahan saya agar dalam Rolling Plan 1 RMK13, projek MRSM ini mesti dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Khas Pelaksanaan Projek Pembangunan KKDW Sarawak, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, susulan kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri pada Januari lepas yang menyebabkan 14 rumah mengalami kerosakan sepenuhnya, usaha membina semua rumah penduduk yang terjejas akan dilaksanakan selepas sambutan Hari Gawai ini. – Bernama
