Thursday, October 24, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek SINAR sokong pembangunan tenaga mampan

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Hengyi Industries Sdn Bhd melancarkan Project Sustainable Integration of Natural and Renewable Energy, yang juga dikenali sebagai Projek SINAR, yang merupakan sebuah inisiatif tenaga suria yang signifikan dengan matlamat untuk menyediakan tenaga boleh diperbaharui ke Loji Penapisan Petrokimia dan menyumbang kepada Matlamat Tenaga Boleh Diperbaharui Brunei.

    Projek itu menetapkan untuk memasang panel solar photovoltaic (PV) di Pulau Muara Besar (PMB) secara berperingkat bermula dengan Peringkat 1.

    Sehubungan dengan itu, hadir pada majlis pelancaran projek berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Yussof dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani; setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap serta jemputan-jemputan khas.

    Dalam kata alu-aluannya, Pengerusi Zhejiang Hengyi Group Co Ltd dan Hengyi Industries, Qiu Jianlin menyatakan pelancaran Projek SINAR merupakan sebuah langkah signifikan bagi Hengyi Industries dalam perjalanannya menuju ke arah transformasi hijau selaras dengan matlamat kemampanan Negara Brunei Darussalam.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan Qiu Jianlin semasa merasmikan acara berkenaan.
    – GAMBAR SERAHAN HENGYI INDUSTRIES
    GAMBAR SERAHAN HENGYI INDUSTRIES
    GAMBAR SERAHAN HENGYI INDUSTRIES

    Pelaksanaan projek itu, tambahnya, akan menyokong peralihan Brunei ke struktur tenaga yang lebih bersih dan mengurangkan pelepasan karbon. Projek SINAR bukan sahaja sebuah inisiatif utama bagi syarikat berkenaan dalam bidang tenaga boleh diperbaharui tetapi juga penyumbang besar kepada pembangunan tenaga mampan di Brunei.

    Majlis diteruskan dengan pelancaran Projek SINAR yang diiringi dengan tayangan video yang memberikan gambaran terperinci mengenai projek berkenaan dan matlamatnya.

    Bersempena dengan pelancaran itu, Hengyi Industries mengagihkan Laporan Environmental, Social and Governance (ESG) 2023 kepada para jemputan di mana laporan berkenaan mengetengahkan pencapaian utama syarikat dalam kemampanan alam sekitar, tanggungjawab sosial dan urustadbir korporat sepanjang tahun.

    Projek SINAR menggariskan komitmen Hengyi Industries kepada kemampanan dan tanggungjawab alam sekitar di mana dalam peringkat pertama yang juga dikenali sebagai projek rintis, Hengyi Industries akan memasang panel solar PV di bumbung bangunan, bumbung bangsal kereta dan ruang terbuka di PMB yang meliputi keluasan keseluruhan 36 hektar.

    Analisis awal telah menunjukkan bahawa PMB amat sesuai untuk memanfaatkan kuasa suria disebabkan oleh sinaran suria tahunan yang banyak diterima, memperolehkannya penarafan Gred A bagi Solar Energy Resources Richness. Dengan keadaan yang menguntungkan itu, Peringkat 1 dianggarkan akan menjana sehingga 48 megawatts peal (MWp) apabila siap nanti.

    Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Hengyi Industries untuk mengguna pakai dan melabur dalam tenaga boleh diperbaharui, Projek SINAR adalah selaras dengan matlamat strategik Brunei Darussalam untuk meningkatkan tenaga boleh diperbaharui dalam campuran kuasa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda