PETALING JAYA – Kafe kecil yang terletak di atas sebuah kedai serbaneka itu bukanlah sangat menghidangkan kopi, sebaliknya tempat berlangsung Projek Swap, satu usaha untuk menangani budaya pembaziran dalam kalangan masyarakat negara Malaysia.
Di ruang tengah, terdapat helaian pakaian di atas meja sementara jeket, kot digantung di rak pakaian dan yang menjadi tumpuan sudah tentunya pakaian yang lebih formal yang menghiasi jaring-jaring tingkap. Tidak kurang juga meja aksesori yang menempatkan pelbagai kasut dan barang kemas kostum.
Ramai juga wanita berlegar di ruang kafe itu, mencari-cari yang berkenan di hati. Setiap beberapa minit, ada yang masuk dan keluar, menjinjing beg besar dipenuhi pakaian.
Seorang gadis yang begitu bergaya bergegas ke arah rakannya dengan tersenyum lebar, sambil tangannya menunjukkan dua utas gelang. Kedua-duanya serentak ketawa keseronokan.
Di ruang belakang kafe, sekumpulan sukarelawan sibuk mengasingkan pakaian yang baharu diterima.

Kebanyakan pelanggan adalah warga kota, berusia lewat 20an dan awal 30an. Mereka datang dengan tujuan yang murni, sukakan pakaian dan gemar tawar-menawar.
Duduk di ruang rehat kafe, Mandy How, seorang pengatur cara perisian memerhatikan persekitaranntya dengan penuh minat.
“Tempat ini bagaikan pengalaman membeli-belah yang baharu,” katanya, sambil menghirup secangkir teh. Ini kali kedua Mandy ke program Projek Swap.
Seperti ramai pengunjung wanita lain, beliau menjadikan alam sekitar sebagai pendorong kuat untuk menghadiri majlis berkenaan, komitmen yang amat dihargai oleh pengasas Projek Swap, Jayda Chong.
Pembaziran fesyen
“Semua pakaian ini mungkin berakhir di tapak pelupusan sampah,” Chong memberitahu Bernama.
Menurut SWCorp dan KlothCares, 31 peratus atau 432,901 tan metrik sisa yang dijana di Malaysia pada tahun 2021 adalah sisa fabrik. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melaporkan dunia menghasilkan anggaran 100 bilion pakaian setiap tahun, dan daripada jumlah itu sebanyak 92 juta tan berakhir di tapak pelupusan sampah. Sekurang-kurangnya tujuh peratus daripada tapak pelupusan sampah mengandungi pakaian dan tekstil yang dibuang. Hanya satu peratus dikitar semula.
Menburukkan lagi keadaan, kebanyakan fabrik pada hari ini, dihasilkan menerusi, apa yang dipanggil pakar sebagai fesyen pantas, diperbuat daripada gentian sintetik, yakni daripada bahan bakar fosil. Ini bermakna seperti plastik, sebaik sahaja pakaian ini dibuang, ia tidak akan mereput, sebaliknya menyumbang kepada pemanasan global.
Projek Swap berharap dapat memberi sumbangan menyekat perubahan iklim, walaupun kecil sumbangan itu, dengan mengurangkan jumlah pakaian yang dibuang di tapak pelupusan sampah. Mereka menggalakkan orang awam menukar pakaian berkualiti mereka tetapi tidak digunakan, atas apa jua sebab, dengan pakaian orang lain.
Dengan bayaran masuk RM50, yang digunakan untuk membayar kos operasi dan sewa tempat, setiap pengunjung boleh membawa balik 15 barang, sama ada pakaian, kasut atau barang kemas kostum.
“Perkara paling memuaskan hati saya ialah memberikan pakaian saya kepada orang lain kerana saya mempunyai banyak pakaian dan saya enggan membuangnya. Pakaian itu bukanlah lama sangat untuk dikitar semula,” kata Victoria Lee, seorang pemilik perniagaan berusia 37 tahun.
Tukar-menukar pakaian
Sejak penubuhannya, kumpulan ini menganjurkan 28 kali, atau sekitar enam atau tujuh kali setahun dan bilangan yang kurang sewaktu tahun-tahun pandemik. Setakat ini, Projek Swap berjaya tukar-menukar antara 6,000 hingga to 7,000 helai pakaian, dan Chong menganggap jumlah ini tidak mencukupi untuk memberi impak.
“Tidak ramai yang tahu tentang perkara ini. Semestinya tidak mencukupi,” katanya menambah, pihaknya berusaha untuk menyebarkan usaha yang mereka lakukan. Sekatan pandemik dari tahun 2020 hingga 2022, menjejaskan usaha kumpulan ini.
Bagaimanapun, keadaan semakin bertambah baik dan semakin ramai orang datang ke program Projek Swap, setiap kali ia diadakan.
Bernama sempat menemu bual beberapa orang pelanggan dan kebanyakannya menyebut tentang alam sekitar dan kemampanan. Ada juga yang menyatakan keseronokan membeli dan tawar-menawar dan mencari sesuatu yang menarik.
Pemilik perniagaan Victoria Lee memberitahu Bernama, apa yang beliau suka tentang tukar-menukar ialah beliau dapat mengurangkan pembelian dan dalam masa yang sama masih dapat memenuhi keperluan fesyennya.
“Tabiat saya sebelum ini suka sangat membeli sewaktu ada promosi jualan, apa sahaja,” katanya yang datang ke program Projek Swap itu dengan rakan perempuannya, Faustina Gui. – Bernama