KOTA KINABALU, 11 JUN – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sedang melaksanakan kajian terhadap Projek Tamu Desa sebagai model pengupayaan keusahawanan luar bandar, yang bakal menjadi rujukan penting dalam memperkasa sektor itu.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata kajian tersebut akan dilaksanakan oleh Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Sabah dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) selama enam bulan, bermula bulan ini hingga Disember ini.
“IKMA akan memulakan kajian ini dengan melantik pegawai penyelidik dari IKMA dan UMS yang akan membuat kajian di tapak-tapak Tamu Desa untuk menilai penyertaan masyarakat serta potensi model koperasi dalam pengurusan dan pembangunan aktiviti keusahawanan di Tamu Desa tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ewon, kajian tersebut amat penting kerana ia akan memberi input bermakna kepada KUSKOP dalam merangka dasar dan keputusan berkaitan, terutama melibatkan aspek penyelenggaraan, pemasaran dan jaringan antara Tamu Desa. – Bernama
