Sunday, February 9, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek tingkat kesedaran pelupusan sampah

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Kumpulan Simpur, salah satu kumpulan Projek Outreach Komuniti di bawah Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Peringkat Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) kohort ke-33, hari ini, telah menjalankan Projek Rumahku Bersih, Negara Hijau di Rumah Panjang Kampung Melilas, Mukim Melilas, Daerah Belait.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Mohammad Yassin bin Haji Ahmed selaku wakil Pemangku Pegawai Daerah Belait.

    Turut hadir ialah para penghuni Rumah Panjang Melilas, guru-guru dan pelajar dari Sekolah Rendah Kampung Melilas dan Sekolah Rendah Kampung Sukang serta pegawai-pegawai kerajaan.

    Matlamat utama projek berkenaan adalah untuk meningkatkan kesedaran dan memberikan pendidikan tentang pelupusan sampah yang betul dalam komuniti, mengamalkan pembuangan sisa yang lebih baik untuk kehidupan masyarakat yang sihat, dan juga mengekalkan persekitaran luar bandar yang murni.

    Antara aktiviti yang dimuatkan dalam program berkenaan ialah penyampaian tong sampah kitar semula kepada wakil Rumah Panjang Melilas, serta poster dan buku sumbangan kepada guru besar Sekolah Rendah Kampung Melilas dan Sekolah Rendah Kampung Sukang.

    Turut diadakan adalah taklimat penerangan mengenai alam sekitar hijau dan bersih, dan kompos, aktiviti pengasingan sisa buangan serta demonstrasi mengenai tatacara kompos.

    Projek berkenaan merupakan program kesedaran yang memfokuskan kepada penduduk yang tinggal dalam komuniti etnik dan rumah panjang di Daerah Belait, khususnya Kampung Melilas.

    Ia dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi-agensi kerajaan iaitu Jabatan Daerah Belait, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan; Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan Jabatan Sekolah-sekolah (Kluster 6), Kementerian Pendidikan serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Big BWN dan Zero Waste.

    Awang Mohammad Yassin ketika menyampaikan tong sampah kitar semula kepada wakil Rumah Panjang Melilas, kelmarin. – Gambar serahan EDPMMO
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda