Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek tunas dedah usahawan dunia perniagaan

    Oleh Nurdiyanah R.

    Ke arah memperkasakan penyediaan ruang niaga bagi para usahawan tempatan dalam meniti dunia perniagaan sebenar, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) kini sedang mengalu-alukan orang ramai untuk mengunjungi dan menikmati pelbagai produk usahawan tempatan menerusi Ruang Niaga Projek TUNAS di aras bawah, bangunan KHEDN.

    Adapun projek berkenaan merupakan sebuah program keusahawanan melalui penyediaan ruang niaga bagi membolehkan usahawan untuk mempraktikkan sejauhmana latihan yang diketengahkan oleh pihak BIBD dapat dimanfaatkan dalam urus niaga sebenar mereka demi mencapai kejayaan.

    Sehubungan itu, projek yang melibatkan penyertaan empat buah vendor di bawah Program Pemerkasaan Keusahawanan di bawah BIBD dan KHEDN iaitu wakil-wakil peserta yang terpilih dari Skim Pemerkasaan dan Pembangunan Keusahawanan Khas – BIBD SEED, Gabungan Usahawan Transformasi 1K1P, Konsortium Mualafpreneurs, dan Usahawan Bakarih Yayasan.

    Dalam pada itu, demi sama-sama mencapai matlamat berkenaan, KHEDN telah menyediakan platform ruang niaga di sebahagian aras bawah bangunan kementerian berkenaan sebagai inkubator perkembangan perniagaan kepada usahawan-usahawan yang di bawah kerjasama Whole of Nation Approach pihak kerajaan dan BIBD menerusi pelbagai program pembangunan keusahawanan.

    Bermulanya Projek TUNAS
    Berkesempatan ditemui penulis, baru-baru ini, Ketua Perhubungan Kerajaan dan Projek Khas BIBD, Haji Mohd Yusri bin Haji Wahsalfelah mengongsikan cetusan idea pasaran Projek TUNAS berkenaan telah diajukan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Haji Mohd Yusri semasa ditemui penulis bagi mengongsikan latar belakang mengenai Projek TUNAS tersebut, baru-baru ini.
    Antara produk makanan dan minuman yang diketengahkan oleh para peserta yang boleh didapatkan di ruang niaga tersebut.

    BIBD dengan kerjasama KHEDN mengalu-alukan orang ramai untuk mengunjungi dan menikmati pelbagai produk usahawan tempatan menerusi Ruang Niaga Projek TUNAS bertempat di aras bawah bangunan KHEDN.

    “Yang Berhormat Dato memiliki visi untuk membuka ruang pasaran khususnya bagi individu-individu yang kurang bernasib baik dalam mencari pendapatan sehari-hari.

    “Memandangkan ia terletak di bangunan KHEDN, kami sedang mengkaji untuk mendapatkan pelanggan berpotensi daripada lingkungan pejabat kerajaan berdekatan seperti Pusat Sejarah Brunei, Jabatan Adat Istiadat Negara, Radio Televisyen Brunei (RTB), dan juga golongan peniaga atau pengusaha di Bandar Seri Begawan,” jelasnya.

    Haji Mohd Yusri menambah menerusi projek ini juga merupakan kerjasama antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan BIBD.

    Oleh yang demikian, beliau turut menekankan sesiapa sahaja yang menempuhi bidang perniagaan di pasaran mestilah memerlukan latihan tertentu, di samping mempunyai pengetahuan perniagaan dan tadbir urus serta struktur perniagaan yang betul, termasuklah akaun syarikat dan platform digital.

    “Vendor-vendor yang terlibat telah dinilai berdasarkan keupayaan mereka untuk menempuhi alam cabaran perniagaan, selain dari menitikberatkan aspek kualiti produk mereka dan juga kriteria-kriteria yang lain.

    “Kami mempunyai 31 buah vendor yang menyediakan lebih daripada 76 produk. Adalah menjadi harapan tulus kami untuk memastikan perniagaan mereka akan berjaya dan berdaya tahan sekali gus mampan,” ujarnya lagi.

    Dalam pada itu, Haji Mohd Yusri turut menjelaskan penglibatan empat buah vendor daripada program BIBD SEED, Usahawan Bakarih Yayasan, Konsortium Mualafpreneurs dan Gabungan Usahawan Transformasi 1K1P dalam ruang niaga berkenaan juga secara tidak langsung dapat menambah pengetahuan dan pengalaman serta perkongsian mereka antara satu sama lain khususnya bagi meningkatkan tahap prestasi perniagaan masing-masing.

    “Sebagai contoh, para vendor lain dapat belajar daripada peniaga-peniaga daripada program BIBD SEED tentang penjenamaan, pembayaran digital, promosi perniagaan dan jualan berkumpulan yang sememang bertepatan dengan matlamat utama bersama untuk menyediakan produk dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” tambahnya.

    Dalam kesempatan itu, beliau juga merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Yang Berhormat Dato atas perkongsian visinya dan membenarkan pihak BIBD untuk bekerjasama.

    “Vendor-vendor akan berada di ruang niaga ini selama tiga hingga enam bulan dan sekiranya mereka memiliki hasrat untuk membuka tempat perniagaan sendiri, BIBD akan menyediakan bantuan kewangan dan khidmat nasihat. Pastinya kami tidak akan meninggalkan mereka dan akan dibantu oleh pengurus perhubungan kami untuk memberi nasihat dan tunjuk ajar dari semasa ke semasa,” ucapnya di akhir pertemuan.

    Dari teori ke dunia perniagaan sebenar
    Dengan kata lain, menerusi projek berkenaan, ia menyediakan ruang niaga untuk dijadikan kayu pengukur dan eksperimen berniaga secara bersemuka setelah menjalani bengkel, seminar, kursus dan kelas keusahawanan secara teori kepada kegiatan perniagaan yang sebenar.

    Oleh yang demikian, orang ramai bolehlah mengunjungi pada setiap hari Isnin hingga Khamis dan Sabtu bermula jam 7:30 pagi hingga 3 petang. Antaranya produk-produk yang diketengahkan bukan hanya terhad kepada makanan dan minuman bahkan juga menjurus kepada variasi sentuhan produk kraf tangan seperti anyaman dan pertukangan kayu serta bermacam-macam lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda