Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Sekolah Rendah Mentiri, Kluster 2 telah melancarkan Projek Sekolah Hijau, hasil kolaborasi bersama Program Sahsiah (program pendidikan khas), Kelab Hidroponik dan Tanaman serta Kelab Sains, baru-baru ini.
Projek tersebut telah dirasmikan oleh Guru Besar Sekolah Rendah Mentiri, Dayang Sarimah binti Haji Lusin, di dewan sekolah berkenaan.
Majlis turut diisikan dengan aktiviti mengalih tanaman ke dalam sistem hidroponik oleh guru besar, penolong guru besar, guru-guru serta beberapa orang murid dari Program Sahsiah, Kelab Hidroponik dan Tanaman serta Kelab Sains.
Di samping itu, acara diteruskan dengan sesi bergambar ramai dengan memakai baju bertemakan warna hijau.
Dengan adanya projek demikian, ia dapat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan alam hijau, menambah ilmu mengenai kebaikan hidroponik serta menarik minat murid-murid dalam sistem penanaman hidroponik.