Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jan – Kini sudah melangkah di Tahun Baharu 2019 dan sesi baharu persekolahan pun bakal bermula, rata-rata ibu bapa dan penjaga dilihat masih sibuk bagi memastikan keperluan persekolahan anak-anak mereka tersedia sebaiknya.
Pihak media hari ini berkesempatan untuk membuat tinjauan ke Mubarak Book Emporium cawangan Serusop dan jelas sekali kedai tersebut dipenuhi dengan pelbagai promosi-promosi menarik.
Menurut wakil jurucakap kedai berkenaan, Daisy, dalam temu bual ringkas berkata, setiap tahun kedai tersebut menyertai Brunei Salebration yang berlangsung sehingga hujung bulan Januari 2019 dengan menawarkan pelbagai Promosi Back To School.
Promosi ini jelasnya diadakan di kesemua enam cawangan kedai buku tersebut di negara ini dengan menampilkan pelbagai produk keperluan persekolahan kanak-kanak serta buku-buku teks dan banyak lagi.
Beliau berkata lagi, kedai tersebut menyediakan tawaran-tawaran harga buku dan produk-produknya yang berpatutan kerana semua barang-barang yang dijual adalah barangan yang berkualiti dan berjenama.
Menurutnya lagi, sepanjang promosi ini juga, para pelanggan yang membuat perbelanjaan di kedai tersebut akan mendapat kalendar, jadual dan beg secara percuma.
