Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Promosi budaya kerja berkualiti

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Seramai 30 orang peserta menghadiri Bengkel ISO/TEC 17025:2017 – General Requirements for the Competence of Testing and Calibration Laboratories anjuran Pusat Standard dan Akreditasi Brunei Darussalam (PSABD), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan kerjasama bersama Jabatan Standard Malaysia (JSM), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) bertempat di Hotel Centrepoint, Bandar Seri Begawan pada 5 hingga 7 November.

    Hadir bagi merasmikan bengkel berkenaan ialah Pemangku Pengarah PSABD, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dayangku Hajah Nadiah Annasyitah binti Pengiran DP Haji Abu Bakar.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Dayangku Hajah Nadiah menekankan kepentingan bengkel itu dalam memperkukuhkan pemahaman mengenai Standard ISO/IEC 17025:2017 bagi memastikan makmal beroperasi secara cekap dan kompeten.

    Akreditasi juga mencerminkan komitmen makmal memenuhi kecekapan teknikal dalam menghasilkan keputusan makmal yang tepat kepada pelanggan dan pihak berkepentingan.

    Pengarah Akreditasi, JSM, Wan Rukiman Wan Mamat selaku fasilitator bengkel menerangkan secara terperinci setiap klausa standard berkenaan.

    Bengkel turut membincangkan aspek praktikal seperti ketaksamaan, kawalan dokumen, audit dalaman, penilaian risiko, ketidakpastian pengukuran, semakan pengurusan dan penambahbaikan berterusan yang akan membantu meningkatkan keberkesanan dan kecekapan dalam perkhidmatan penilaian konfomiti makmal.

    Bengkel berkenaan dihadiri wakil-wakil daripada badan-badan penilaian konformiti (CAB) yang berdaftar di PSABD yang terdiri daripada jabatan-jabatan kerajaan, institusi pengajian tinggi dan syarikat-syarikat swasta.

    Bengkel dilaksanakan bersempena dengan Hari Akreditasi Sedunia 2024 dan ia merupakan salah satu usaha PSABD dalam mempromosikan budaya kerja berkualiti bagi makmal-makmal ujian dan kalibrasi tempatan dengan melaksanakan sistem pengurusan kualiti makmal berlandaskan ISO/IEC 17025:2017.

    Para peserta bergambar ramai semasa bengkel tersebut. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KEWANGAN DAN EKONOMI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda