Friday, November 15, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Promosi hasil kandungan kreatif

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Hasil kandungan kreatif yang dikeluarkan oleh pencipta kandungan tempatan dan syarikat-syarikat produksi tempatan telah dipromosikan serta diketengahkan semasa Festival Kandungan Brunei (BCF) 2023 Pameran dan Penayangan yang berlangsung di The Mall, Gadong.

    Perasmian BCF 2023 dan Portal Penyiaran-kontenkitani.bn telah disempurnakan oleh Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa bagi Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI), Ir Haji Jailani bin Haji Buntar pada majlis yang berlangsung di Atrium, The Mall, Gadong, hari ini.

    Di majlis berkenaan, Pemangku Penolong Ketua Eksekutif, Kumpulan Pembangunan Industri, AITI, Dayang Siti Zaraura binti Haji Mohammad dalam ucapan alu-aluannya berkata program BCF AITI itu merupakan salah satu acara untuk mempromosikan penghasilan kandungan tempatan berkualiti oleh pencipta kandungan tempatan yang berbakat.

    Bagi mengiktiraf usaha dan kerja keras mereka, tambahnya, mereka diberikan ganjaran melalui pengiktirafan, hadiah dan publisiti melalui Malam Anugerah Tahunan BCF.

    Dayang Siti Zaraura turut mendedahkan bahawa pameran selama tiga hari itu mengetengahkan lebih daripada 80 kandungan yang dihantar pada Mei hingga Jun yang meliputi pelbagai genre daripada pengiklanan, seram, drama, video muzik, filem pendek dan kandungan yang menekankan identiti Brunei.

    Ir Haji Jailani menyempurnakan perasmian BCF 2023 dan portal kontenkitani.bn semasa majlis yang berlangsung di Atrium, The Mall, Gadong, kelmarin. – Gambar oleh Sim Y.H.
    Ir Haji Jailani mencuba salah satu peralatan pada pameran yang mengetengahkan kandungan tempatan. – Gambar oleh Sim Y.H.

    Menurutnya, kontenkitani.bn merupakan portal penyiaran baharu yang menyediakan maklumat dalam talian khusus untuk orang ramai dan industri dalam pencarian mereka bagi produksi, bakat dan perkhidmatan penerbitan bebas untuk keperluan industri.

    Syarikat-syarikat produksi berdaftar dan penerbit bebas boleh menerbitkan mana-mana acara industri baharu termasuk promosi yang relevan, yang boleh diiklankan dalam portal berkenaan.

    kontenkitani.bn juga berfungsi sebagai rujukan untuk mengetahui jumlah syarikat produksi aktif dan bebas yang terdapat di Negara Brunei Darussalam.

    Sehubungan itu, semua syarikat produksi dan penerbit bebas di negara adalah digalakkan untuk mendaftar serta mempromosi diri mereka di dalam portal berkenaan.

    Pameran itu merupakan permulaan kepada Majlis Anugerah BCF 2023 yang akan diadakan pada 12 September nanti, di mana pemenang-pemenang dalam kalangan pencipta kandungan tempatan akan diiktiraf bagi usaha cemerlang mereka.

    Ia bertujuan menggalakkan pencipta kandungan, penerbit, artis dan pemain-pemain industri untuk menghasilkan kandungan berkualiti tinggi yang mempunyai nilai komersial yang boleh dipasarkan serta diedarkan kepada platform media digital seperti OTT.

    Sepanjang acara itu, orang ramai boleh menyaksikan tayangan kandungan tempatan yang dihasilkan oleh syarikat produksi tempatan yang bersaing dalam Anugerah BCF 2023 serta pameran yang dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam pada 8 September hingga 10 September.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda