Oleh Sim Y.H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Dengan matlamat untuk mempromosi cara kehidupan yang sihat bagi menangani masalah penuaan di kalangan tenaga kerja, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebu-dayaan, Belia dan Sukan, menganjurkan taklimat mengenai ‘Hidup Lebih Lama, Bekerja Lebih Lama – Occupational Health and Safety Issues in Ageing Workforce, yang berlangsung di Dewan Imtiyaz, Pusat Bahagia, Kampung Pulaie, kelmarin.
Taklimat itu disampaikan oleh pakar kesihatan pekerjaan dari Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC), Dr N.B.P Balalla dan dihadiri oleh seramai 70 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan JAPEM, ahli-ahli Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE), persatuan-persatuan dan sukarelawan yang berdaftar di bawah JAPEM.
Taklimat bermatlamat untuk mempromosi cara kehidupan yang sihat bagi menangani masalah penuaan di kalangan tenaga kerja.
Dengan adanya taklimat itu, ia akan dapat memberikan kesedaran terhadap cabaran yang dinamik yang merangkumi stereotaip dan diskriminasi, penuaan, perbezaan tingkah laku, kumpulan kerja pelbagai generasi dan keselamatan.
Selain itu, taklimat itu juga diharap dapat membantu bagi penyediaan strategi dan amalan terbaik yang mesra penuaan.